Kemaskini Terakhir: 31 Ogos 2003

Hadapan    -   Info   -   Buku Pelawat   -   E-mel
  UMUM | POLITIK | EKONOMI | PENDIDIKAN | SOSIAL | POLISI LUAR  
" Transformasi Masyarakat Berasaskan Mafahim Islam"  
 
ARKIB EKONOMI

 

Bai'ah Al Inah
Dinar dan Dirham
Sekitar Bank Islam
   
 

kemaskini: 10 Sept. 2003

 

.::EKONOMI: SEKITAR MENGENAI BANK ISLAM

 

SEKITAR MENGENAI BANK ISLAM
 Ikatan Intelektual Nusantara

Perbankan islam merupakan suatu fenomena yang semakin mendapat perhatian dewasa ini. Idea ini tercetus dari keinginan yang besar di kalangan umat islam untuk melaksanakan islam dalam kehidupan. Dalam usaha merialisasikan keinginan ini, mereka berpendapat bahawa islam tidak mungkin dapat dilakukan melalui perubahan secara total (inqilabi) iaitu dengan menegakkan khilafah sebaliknya melakukan perubahan secara bertahap dan beransur-ansur (islahi). 

Cara bertahap dan beransur-ansur yang dimaksudkan ialah dengan cara menangani permasaalahan mengikut kepentingan dan urgensi iaitu pemulihan dari sudut ekonomi, pendidikan, politik dan sebagainya. Kewujudan bank islam merupakan contoh usaha islamisasi dalam bidang ekonomi.  

Realiti

 Sejarah dan Perkembangannya 

Usaha pertama untuk mendirikan bank islam bermula di Egypt. Usaha ini diketuai oleh Ahmad El Najar secara sulit dan tidak menggunakan platform islamisasi kerana takut dilihat sebagai menisfestasi daripada fundimentalis islam. Sebuah institusi simpanan-pelaburan berjaya ditubuhkan di Mit Ghamr pada 1963. Institusi ini tidak mengenakan faedah kepada simpanan dan menggunakan kaedah perkongsian keuntungan (profit sharing). Kejayaan institusi ini menggalakkan perkembangannya, sehingga 1967, terdapat 9 institusi yang seumpamanya. 

Pada tahun 70an, usaha mendirikan institusi perbankan dilaksanakan secara terbuka, ini disebabkan perubahan positif dalam perkembangan politik di kebanyakkan negara-negara umat islam. Pada 1971, tertubuhlah Bank Sosial Nasir di Cairo Egypt, diikuti oleh Dubai Islamic Bank pada tahun 1975. Tertubuhnya bank ini adalah usaha Organisasi Konferensi Islam (OKI) dan mempunyai skala internasional. Satu lagi institusi perbankan islam ditubuhkan di Egypt iaitu Faisal Islamic Bank of Egypt pada 1977 oleh Pengeran Muhammad Al Saud. Pada tahun yang sama juga Kuwait Finance House ditubuhkan atas usaha menteri-menteri Kuwait pada ketika itu. Bank tersebut menjadi lembaga kewangan milik negara yang penting. Pada 1978 beberapa buah lagi institusi perbankan ditubuhkan iaitu Faisal Islamic Bank of Sudan, Bank Kewangan dan Wang Islam Jordan dan Syarikat Kewangan Islam UAE, diikuti tahun berikutnya Sykt Kewangan Kuwait dan Bahrain Islamic Bank.  

Institusi perbankan islam turut berkembang pesat di negara penduduk islam minoriti seperti di Swiss, Luxemburg, Denmark, Filifina, AS, Afrika Selatan, Bahama dan Australia. Perkembangannya dilihat dari pembukaan kaunter-kaunter perbankkan islam oleh bank-bank konvensional. 

Di Malaysia, institusi perbankan islam bermula sejak 1963, iaitu penubuhan Muslim Pilgrims Saving. Penubuhannya bermula dari idea professor Ungku Aziz untuk memudahkan umat islam menyimpan bagi menunaikan rukun haji. Pada 1969 ia terus berkembang kepada Pilgrims Management dan Fund Board yang lebih dikenali sebagai Tabung Haji. Kejayaan tabung haji menjadi inspirasi kepada tertubuhnya Bank Islam pada tahun 1969. Tabung Haji sendiri menyumbangkan 12.5 peratus modal initial BIMB yang berjumlah RM80 juta. 

Rasional Penubuhan 

Ciri utama dalam sistem perbankan islam adalah bebas daripada riba. Ini adalah kerana riba jelas diharamkan di dalam islam. Didalam Al-quran terdapat 4 ayat yang menjelaskan larangan terhadap riba. 

Ayat pertama  diturunkan di Mekah, ia menunjukkan kebencian Allah terhadap riba, sekaligus peringatan agar tidak dilaksanakan. Namun ia tidak menunjukkan keharamannya. 

“Dan suatu riba(tambahan) yang kamu berikan untuk menambah harta manusia, maka yang demikian itu tidak (bererti) bisa menambah di sisi Allah.. “ ( Ar Ruum 39) 

Ayat kedua diturunkan di Madinah sebelum perang bani Quraidzah yang terjadi pada tahun ke V, atau sebelum perang Bani An Nadlir pada tahun ke IV H. Ayat ini menceritakan kemurkaan Allah terhadap orang² yahudi yang mempraktikan riba 

“Maka  disebabkan kezaliman yang amat besar dari perbuatan orang² Yahudi, kami haramkan atas mereka makanan yang baik² yang pernah dihalalkan bagi mereka, dan disebabkan mereka banyak menghalang manusia dari jalan Allah. Dan juga (disbabkan) mereka mengambil riba padahal mereka telah dilarang melakukannya..” (QS An Nisa 160 – 161) 

Ayat ketiga juga diturunkan di Madinah. Ayat ini menunjukkan larangan tegas mengharamkan salah satu jenis riba iaitu riba nasiah. Namun ia masih tidak menunjukkan larangan secara menyeluruh. Pengharamannya hanya berlaku bagi amalan riba yang mengambil keuntungan secara berlipat ganda 

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda...” (QS Ali ‘Imran 130) 

Dengan turunnya ayat keempat ini riba telah diharamkan secara menyeluruh, tidak lagi di bezakan jumlah keuntungannya samaada banyak atau sedikit. Ayat ini juga merupakan ayat mengenai hukum riba yang wajib dipegang oleh umat islam. 

“Wahai orang²-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman.”(QS Al Baqarah 278) 

Di dalam Hadith pula dinyatakan larangan yang sama juga dikenakan bukan sahaja untuk mereka yang memakan riba malah yang memberi makan dari hasil riba, menulis dan menjadi saksi 

“Mereka itu (yang memakan riba, yang memberi makan dari hasil riba, yang menulis dan saksinya) sama sahaja hukumannya” (HR Muslim dan Bukhari dari Abu Hudzaifah)  

Tiada alasan lagi yang menghalalkan umat islam dalam transaksi yang mengandungi riba, maka mekanisma alternatif dicari untuk menggantikan faedah (interest) yang diamalkan oleh sistem perbankan konvensional agar umat islam dapat turut serta dan memastikan umat islam tidak ketinggalan dalam bidang ekonomi. Persoalan yang timbul, apakah proses yang dapat menggantikan riba. Beberapa metod operasional diusulkan diantaranya ialah perkongsian keuntungan (profit sharing) dan pelaburan. 

Namun apakah sistem perbankan islam telah islami secara keseluruhannya? Beberapa perkara perlu diperhatikan. 

1.     Sistem Permodalan 

Sebelum sesuatu institusi perbankan didirikan, kaedah pengumpulan modal perlu diteliti  agar cara yang digunakan selaras dengan syariat islam. Penggunaan cara kapitalis dalam usaha mengumpulkan modal seperti menjual saham, koperasi dan kaedah-kaedah konvensional lainnya perlu dielakkan sama sekali. 

Dalam hal ini Syarikat Dua atau Lebih (Mudharabah) boleh digunakan. Dalam kaedah mudharabah modal boleh dikumpulkan hasil perkongsian dari sekumpulan kaum muslimin. Terdapat dua cara yang boleh digunakan : 

Pertama, sebelum melakukan aktiviti perbankan, pihak pengurusan bank menawarkan kepada masyarakat awam untuk mengikuti aktivitinya sebagai pelabur modal. 

Kedua, sekumpulan pemodal mengadakan perjanjian untuk mendirikan institusi perbankan. Modal yang dikumpulkan tersebut kemudian ditawarkan kepada pihak tertentu yang akan mengelolakannya dalam bentuk perbankkan Islam. 

Sistem Mudharabah berbeza dari apa yang dilaksanakan oleh sistem perbankan konvensional dimana pihak pelabur dalam sistem perbankan konvensional tidak mempunyai sebarang risiko untuk menanggung kerugian. Dalam sistem Mudharabah (qiradh), keuntungan yang diperolehi akan dibahagikan kepada kedua-dua pihak mengikut kesepakatan. Sekiranya terjadi kerugian maka ia akan ditanggung oleh pelabur iaitu daripada modal yang dilaburkan. Ini selaras dengan hadis Nabi SAW, 

“Keuntungan adalah bergantung kepada keadaan/hasil urusniaga yang diusahakan, dan kerugian adalah bergantung kepada modal” 

Mudharabah adalah selaras dengan syarak sebagaimana yang telah diriwayatkan dimana Al-Abbas bin Abdul Mutalib telah melaburkan hartanya dan meletakkan syarat-syarat kepada pengusahanya. Perkara ini telah diketahui oleh Rasulullah SAW dan baginda menyukainya. Perkara ini turut disepakati oleh para sahabat. Telah juga diriwayatkan dari Hamid bin Abdullah dari bapanya dari datuknya,  

“Omar bin Al Khattab telah memberikan harta anak yatim dalam Mudharabah untuk diusahakan di Iraq” 

Juga telah diriwayatkan dari Mas’ud bin Hakim bin Hizam bahawa  

“Mereka telah memberikan pinjaman dalam Mudharabah” 

Kesemua ini berlaku dihadapan dan dipersetujui oleh para sahabat, tiada seorang pun diantara mereka menolak atau menafikannya.  

Walaupun sistem perbankan masakini mendakwa telah melakukan sistem mudharabah namun ia hanya terbatas dalam pengumpulan untuk modal usaha sahaja bukan untuk mendirikan bank itu sendiri. Ia hanya digunakan untuk bank tersebut menjalankan aktivitinya dan mengembangan harta selepas bank tersebut ditubuhkan. 

Apa yang telah dipraktikkan oleh perbankan islam kini ialah  perjanjian berlaku antara pelabur-pelabur yang bersetuju untuk membiayai sesuatu projek dimana pengusaha telah bersetuju untuk mengusahakannya. Kuntungan dan kerugian akan dibahagikan bersama mengikut perjanjian yang telah disepakati. Namun apa yang harus dilakukan adalah modal tersebut telah dikumpulkan sebelum bank melakukan aktivitinya, seterusnya modal tersebut boleh dikendalikan oleh pengelola dalam bentuk usaha atau pelaburan 

2.     Struktur Pengelola Bank 

Dalam sistem perbankan islam  pada masa ini wujud Ahli Lembaga Pengarah yang bertujuan untuk menguruskan dan melaksanakan aktiviti-aktiviti perbankan mewakili para pemilik saham. Kesilapan sistem perbankan islam kini ialah Ahli Lembaga Pengarah ini merupakan sebahagian daripada pegawai yang digaji. 

Cara tersebut bertentangan dengan prinsip islam. Ini kerana bank adalah berbentuk Mudharabah dan ia tertakluk kepada syarat-syarat mengikut ketentuan islam. Mengikut syariat Islam, modal yang dikumpulkan oleh pelabur tidak akan membentuk mudharabah tanpa adanya pengelola / pengusaha. Dalam hal ini pengelola mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk memanfaatkannya. Akad syarikat adalah terbeban keatas pengusaha manakala modal keatas pemiliknya. 

Dengan itu,  Ahli Lembaga Pengarah ini harus bertindak sebagai pengelola dan bukan sebagai pegawai yang digaji. Dengan cara ini mereka akan mendapat manfaat sekiranya mendapat keuntungan dan menanggung risiko apabila berlaku kerugian (profit and loss sharing). Sedangkan pegawai lainnya mempunyai status sebagai pegawai yang digaji dan tidak berhak untuk mendapat perkongsian keuntungan. 

3.     Sistem Kerja Bank Islam

a. Bank islam sebagai badan perantara

Bank islam adalah sebagai badan perantara antara dua kumpulan pelanggan (nasabah) iaitu kumpulan mereka yang hanya menyimpan wang dan kumpulan kedua terdiri dari mereka yang bertindak sebagai pemberi pinjaman atau penyimpan yang mana mereka boleh mempergunakan wang mereka semula.  Kesemua wang yang berasal dari kedua-dua nasabah di atas akan digunakan oleh pihak bank untuk aktiviti pelaburan projek perniagaan atau aktiviti-aktiviti yang dapat memnyumbangkan keuntungan. 

Dalam usaha mengumpulkan modal, bank lazimnya menyediakan 3 jenis akaun simpanan iaitu akaun semasa, akaun simpanan dan akaun tetap.  Simpanan dalam bank adalah berbentuk wadiah. 

Mengikut hukum Fiqh, simpanan wadiah tidak boleh digunakan tanpa mendapat izin dari penyimpan. Jika mendapat keizinan statusnya akan berubah kepada modal atau syirkah. Dalam hal ini penyimpan berhak untuk mendapat sebahagian daripada keuntungan. Keuntungan yang dibahagikan adalah merupakan keuntungan dari akad wadi’ah yang telah bertukar kepada akad syirkah  dan bukan sama statusnya dengan riba atau hadiah dari bank. 

Bank islam tidak berhak untuk menentukan syarat segala manfaat dan keuntungan dari penggunaan wang simpanan tersebut sebagai haknya. Dalam hal ini penyimpan berhak untuk menentukan samaada bank akan mendapat perolehan atau sebaliknya.  

Penyimpan berhak mengambil sebahagian daripada manfaat atau keuntungan yang diperolehi. Ini berdasarkan peristiwa yang terjadi di zaman pemerintahan Umar Ibnu Khattab. Beliau telah mengizinkan anak-anaknya Abdullah dan Ubaidillah untuk menukarkan wang simpanan Abu Musa Al Asy’ari di Baitul Mal. Namun sebelum itu kedua anaknya telah menggunakan wang tersebut untuk dilaburkan di dalam perniagaan sehingga mereka memperolehi keuntungan. Setelah Umar diberitahu mengenai hal tersebut, beliau memutuskan bahawa wang tersebut telah bertukar status menjadi ‘qiradh’. Oleh itu keuntungan tersebut harus dikongsi, separuh dari hasil keuntungan adalah hak Abu Musa dan selebihnya dikongsi oleh Abdullah dan Ubaidillah. 

b. Pinjaman Kebajikan (Qard Al-Hassanah) 

Secara ringkasnya qard al-hasanah adalah pinjaman tanpa dikenakan sebarang faedah atau keuntungan sifar. Namun apa yang dilakukan oleh bank islam masa kini adalah dengan mengenakan bayaran perkhidmatan. Contohnya pinjaman PTPTN. Ada juga yang memperkenalkan istilah sumbangan/hadiah dari peminjam sebagai rasa terima kasih kepada pihak bank. 

Hadiah atau sumbangan yang diperolehi dari pinjaman adalah seumpama riba yang dilakukan oleh bank konvensional. Dalilnya, Dari Abu Burdah bin Musa, dia berkata “Suatu ketika aku mengunjungi Madinah. Lalu aku berjumpa dengan Abdullah bin Salam. Orang ini lalu berkata kepadaku: ‘Sesungguhnya engkau berada di suatu tempat(Iraq) yang disana kegiatan riba telah bermaharjalela. Apabila engkau memberikan pinjaman kepada seseorang lalu ia memberikan hadiah kepadamu berupa rumput kering, gandum atau makanan ternak, maka janganlah diterima. Sebab pemberian tersebut adalah riba” (Riwayat Imam Bukhari). 

Dalam kitab Tarikh karangan Imam Bukhari, Anas ra berkata Rasulullah saw bersabda  

“Bila ada yang memberikan pinjaman (wang/barang) maka janganlah dia menerima hadiah (dari yang meminjamkannya)” 

Berdasarkan kedua hadith tersebut jelas menunjukkan keharaman pemberian hadiah atas peminjaman. Juga dapat diqiaskan bahawa bank memberikan hadiah kepada penyimpan juga adalah suatu keharaman. Ada juga hadith yang membolehkan pemberian hadiah, namun hanya dengan syarat si peminjam dan pemberi pinjam mempunyai hubungan akrab dan telah biasa memberi dan menerima hadiah sesama mereka. Seperti yang ditanyakan oleh seorang tabi’in kepasa Anas bin Malik:  

“Bagaimana hukumnya bila seorang lelaki Muslim meminjamkan wang kepada saudaranya kemudian menerima hadiah darinya?” Anas bin Malik Menjawab dengan sabda Rasulullah “Bila salah seorang dari kalian telah memberikan pinjaman kepada seseorang, kemudian ia diberikan hadiah atau diberi izin untuk menggunakan kenderaannya, maka janganlah dia menerima hadiah kerananya, dan janganlah dia menggunakan kenderaan tersebut kecuali jika telah terbiasa dilakukan sebelumnya” 

Hujah yang digunakan oleh pihak bank untuk membenarkan pemberian hadiah adalah dari hadith rasulullah yang diriwayatkan oleh Bukhari-Muslim, Rasulullah telah meminjam seekor unta dari seorang Arab Badwi, kemudian baginda membayarnya dengan seekor unta jantan yang lebih besar ukurannya dan berumur 6 tahun. Lantas baginda bersabda : “Sesungguhnya sebaik² manusia adalah orang yang membayar hutangnya dengan cara yang lebih baik” 

Jelas bahawa tambahan dalam pembayaran hadith di atas bukan tambahan dari jumlah kuantiti atau jenis harta yang dipinjamkan. Juga bukan tambahan dari pinjaman yang telah disepakati. Namun apa yang berlaku adalah Rasulullah membayar seekor unta jantan dengan jumlah yang sama iaitu seekor unta jantan. Hanya unta jantan yang dibayar oleh baginda lebih besar dan tua umurnya. 

c. Bank Islam dan Barang Jaminan 

Bank dibenarkan untuk memjual barang yang dicagarkan kepada bank semasa membuat pinjaman sekiranya peminjam gagal membayar hutang. Apabila terdapat lebihan dari jualan tersebut, maka bank islam akan menyerahkan lebihan tersebut kepada peminjam. 

Tindakan bank tersebut bertentangan dengan hukum syarak dan sama seperti tindakan semasa zaman jahiliyyah dimana sekiranya penggadai tidak mampu menjelaskan hutang pada waktu yang ditetapkan barang tersebut menjadi milik pemegang barang gadaian. Hadith riwayat imam syafi’e, Daruquthni dengan sanad Hassan. Dari Abu Hurairah, bahawa Nabi saw bersabda  

“Barang gadaian tidak boleh diambil dari pemiliknya (jika ia tidak mampu menebusnya) Keuntungan barang gadaian itu adalah hak si penggadai. Begitu juga kerugiannya dipikul oleh si penggadai” 

Berdasarkan hadith tersebut, barang gadaian dan manfaat yang diperolehi darinya adalah tetap milik penggadai. Penerima barang gadaian boleh menggunakan manfaat daripada barang gadaian tersebut sekiranya telah mendapat keizinan dari penggadai, namun barng gadaian tersebut tidak boleh dijual. Namun ia hanya untuk kes jual-beli dan sewa-menyewa sahaja. 

Bagi kes barang gadaian untuk mendapatkan pinjaman dari institusi perbankan, memanaatkan barang gadaian adalah haram walaupun telah mendapat izin dari penggadai. Ini merujuk kepada hadith Rasulullah SAW yang melarang mengambil manfaat daripada pinjaman.

“Setiap pinjaman yang menarik manfaat adalah riba” (HR Al Harts bin Abu Usmah, dari Ali bin Abi Thalib) 

Walaupun hadith di atas dhaif dari segi sanadnya, namun para fuqaha telah menggunakan hadith tersebut sebagai dalil untuk melarang penjualan barang gadaian dan memanfaatkannya bagi kes pinjaman. Menurut kaedah ilmu hadith, apabila sesuatu hadith itu telah digunakan oleh para fuqaha sebagai dalil maka statusnya adlaah hadith hassan. 

Apa yang perlu difahami ialah ketidaklibatan umat islam di dalam sistem perbankan bukan merupakan faktor umat islam mundur dalam bidang ekonomi. Kemajuan atau kemunduran masyarakat tidak dipengaruhi oleh kewujudan bank. Kewujudan sistem perbankan islam itu sendiri tidak menjamin kemajuan umat islam dalam bidang ekonomi. Kemunduran ini adalah disebabkan kelemahan sistem ekonomi yang diterapkan di tengah masyarakat iaitu sistem ekonomi kapitalis.  

Kewujudan institusi perbankan adalah berpunca dari budaya ekonomi sistem kapitalis yang mengandalkan kepada budaya pasaran bebas. Kekuatannya terletak kepada meterialistik dan dan beredeologikan individualistik. 

Islam mempunyai sistem ekonominya tersendiri yang menyeluruh dan sempurna. Kemajuan ekonomi umat islam dapat ditingkatkan dengan peningkatan taraf berfikir umat islam itu sendiri agar lebih produktif dan islami. Keadaan ini hanya akan terhasil sekiranya umat islam bangkit terlebih dahulu atas dasar akidah dah thaqafah islam. 

Kewujudan bank islam di tengah masyarakat yang menerapkan Sistem Ekonomi Kapitalis pasti menghadapi masaalah tidak kira dari segi teknikal atau non-teknikal. 

Kesimpulan 

Pada dasarnya, pendirian institusi perbankan yang berlandaskan syarak adalah harus. Namun setiap aktiviti yang ingin dilaksanakan haruslah dikaji dengan teliti agar tidak bertentangan dengan syarak. 

Pemulihan dalam kegiatan ekonomi secara keseluruhannya pula perlu dipikul oleh pemerintah agar hukum syariat dapat diterapkan di dalam kehidupan umat islam secara keseluruhannya.-IKIN

 
 
UMUM | POLITIK | EKONOMI | PENDIDIKAN | SOSIAL | POLISI LUAR
http://www.ikin.official.ws    Hadapan    -   Info   -   Buku Pelawat   -   E-mel   ikin@official.ws