Muqaddimah
Penggunaan dinar emas
dalam urusan perdagangan antarabangsa oleh Malaysia, dijangka bermula
akhir tahun ini dengan Iran. Jika kaedah antara kedua negara ini
terbukti berjaya, ianya akan diperluaskan ke negara lain, terutama
yang mempunyai perjanjian pembayaran dua hala (BPA) dengan Kuala
Lumpur. Demikian kenyataan PM Mahathir, yang juga Menteri Kewangan
kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen
Antarabangsa bertajuk “Dinar Emas sebagai Mata Wang Antarabangsa
Alternatif” anjuran DPIM cawangan Kuala Lumpur di PWTC pada 1 Julai
2003. Beliau juga berkata Malaysia bersedia mempromosikan kaedah ini
kepada negara-negara lain, bahkan kepada negara-negara bukan Islam.
Walau bagaimana pun, penggunaan wang seperti US Dollar, Euro, Yen dan
lain-lain perlu diteruskan (BH 2 Julai 2003).
Langkah ini turut mendapat pujian
dari pihak pembangkang. “Saya yakin dinar emas ada kelebihannya
dibandingkan Dollar dan Euro kerana ia bergantung kepada sumber alam
yang banyak di negara Islam. Ianya adalah langkah positif untuk
membebaskan negara dari penjajahan ekonomi oleh Amerika Syarikat” kata
Datuk Sri Abdul Hadi Awang, Pemangku Presiden PAS (BH 3 Julai 2003).
Bagaimanakah penggunaan
emas dalam sejarah kewangan dunia? Benarkah ia merupakan penyelesaian
kepada krisis ekonomi? Apakah proposal Malaysia tentang kaedah dinar
emas serupa dengan konsep dinar syar’ie? Pertanyaan-pertanyaan itulah
yang akan dijawap oleh tulisan ini.
Sekilas
Sejarah Mata Wang Malaysia
1899 Matawang kertas pertama diterbitkan oleh Kerajaan,
disandarkan kepada surat jaminan dan logam perak
1906 Kerajaan menyandarkan matawang kepada sterling (aloi
mengandungi 92.5% perak). Tiap 1 dolar selat setara dengan 2 sterling
dan 4 dime, dan 60 dolar selat setara dengan 7 wang mas bernilai 20
syiling sterling setiap satu. Dengan demikian tiap keping wang mas
setara dengan 20 sterling. Pemilik wang kertas boleh menukarkannya
kepada Kerajaan dengan logam sebanyak jumlah yang tertulis di muka
depannya.
1954 Lembaga Suruhanjaya Mata Wang Malaysia dan British Borneo
menukar mata wang kertas kepada dolar selat (logam) yang kemudiannya
diganti dolar Malaya.
1958 Ordinan Bank Negara Malaysia mengamalkan sandaran minimum
80.59% rizab antarabangsa untuk pencetakan mata wang.
1967 Bank Negara Malaysia mengeluarkan wang Ringgit Malaysia
menggantikan dolar.
1975 Wang RM baru dikuatkuasakan di bawah Akta Mata Wang
Malaysia. Penggunaan piawai emas dihapuskan. Nilai mata wang Malaysia
ditentukan oleh sekumpulan mata wang negara lain iaitu rakan
perdagangan utama.
1998 Nilai mata wang
ringgit ditambatkan kepada RM 3.8 untuk setiap 1 USD.
Sekilas Sejarah
Mata Wang Dunia
1879 Sistem kewangan dunia kembali kepada piawaian emas.
1914 penggunaan piawai emas dibatalkan kerana banyak negara
yang terlibat dalam Perang Dunia I mencetak mata wang lebih banyak
dari simpanan emas yang dimilikinya.
1933 FD Roosevelt dilantik menjadi presiden ketika AS mengalami
Great Depression, ia memperkenalkan beberapa langkah reformasi sosial
dan ekonomi. Ia membatalkan piawai emas dan mengarahkan untuk
mencairkan semula 500,000 keping wang emas bernilai USD 20 setiap
satu.
1
Julai 1944 Perjanjian Bretton Woods di AS. Negara-negara sekutu
bersepakat untuk menstabilkan semula kadar tukaran setelah Perang
Dunia II. Kerajaan Amerika berjanji kepada rakyatnya dan orang luar
bahawa Amerika akan menukar wang kertas USD 35 dengan 1 auns emas.
Perjanjian ini juga menyepakati bahawa pencetakan mata wang sesebuah
negara berdasarkan rizab emas, dan dolar dijadikan sebagai piawai
semua mata wang dunia.
15 Ogos 1971 Presiden Richard Nixon mengumumkan bahawa Amerika
Syarikat dan sekutunya membatalkan perjanjian Bretton Woods dengan
mengamalkan mencetak lebih banyak wang bagi membiayai ekonominya.
Sistim kewangan dunia diubah, mata wang sesebuah negara ditetapkan
sebagai bahagian tertentu dari rizab mata wang asing yang dimilikinya.
Dunia mengamalkan fiat money sahaja.
Pemansuhan nilai tara
USD kepada emas inilah yang merupakan punca krisis dolar yang meluas.
Sejak saat inilah mana-mana negara mesti meminjam dan melangsaikan
pinjamannya hanya dalam USD, tentunya dengan kadar bunga tertentu,
misalnya IMF menetapkan antara 15-20%. Ini adalah perangkap negara
maju sehingga boleh terus mengeksploitasi negara miskin. Penggunaan
wang fiat diperkenalkan oleh negara kolonialis untuk memanipulasi
pasaran wang dunia dan menjadi alat penjajahan. Fakta bahawa
negara-negara ini masih mempunyai simpanan emas yang banyak tetapi
berpakat untuk tidak menjual atau memajakkan emasnya semakin
memperkuat persangkaan kita bahawa wang fiat adalah alat penjajahan.
Ada maklumat bahawa mulai Jun 2001 Rusia telah mencetak wang emas
sebagai legal tender, ia juga telah mula menjual dolar dan
menimbun simpanan emasnya.
Perubahan
Kecenderungan Ekonomi Dunia
Pada tahun 1999, dalam
sebuah pertemuan cabang dalam siri pertemuan tahunan IMF dengan Bank
Dunia di Washington, 5 butir kesepakatan kunci telah dicapai. Sebanyak
15 Bank Pusat Eropa menyatakan penerimaan mereka terhadap penggunaan
emas. Resolusi yang dibacakan oleh Wim Duisenberg, Presiden Bank Pusat
Eropa itu menyebutkan :
1) Emas tetap merupakan unsur penting dalam
simpanan kewangan dunia
2) Institusi-institusi di atas tidak akan menjual
emas, kecuali untuk perniagaan yang telah dipersetujui
3) Penjualan emas yang telah dipersetujui akan
diatur bahawa penjualan tahunannya tidak melebihi 400 tan sehingga
dalam 5 tahun dibatasi berjumlah 2000 tan.
4) Pihak-pihak yang telah menandatangani
perjanjian ini tidak akan memperluaskan pemajakan emasnya selama
jangka masa perjanjian
5) Perjanjian ini akan ditinjau ulang setelah 5
tahun.
Walau pun perjanjian
ini dibuat oleh negara-negara Eropa, namun prosesnya melibatkan para
gabernor Bank-Bank Pusat negara-negara G10 yang mengadakan pertemuan
bulanan di Basle, Switzerland. Jepun dan US yang merupakan anggota G10
menyokong perjanjian ini. Pada bulan Mei 1999, US telah mengumumkan
bahawa negaranya dan juga IMF tidak akan menjual atau memajakkan
emasnya. Pada 27 September 1999 Jepun mengumumkan bahawa negaranya
tidak akan menjual ataupun memajakkan emasnya.
Perjanjian ini meliputi
hampir 50% simpanan emas dunia yang rasmi, kerana 15 negara yang
menandatanganinya mempunyai simpanan emas gabungan sebanyak 16,000
tan, sedangkan rizab emas dunia secara rasmi adalah 33,500 tan. Selain
itu dijangkakan pada tahun 2005 UK dan Sweden mempersiapkan diri untuk
bergabung bersama Euro, sehingga simpanan emas kedua-dua negara turut
dikawal oleh European Central Bank (Kcom Journal 9 Mac 2002).
Dalam pertemuan tahunan
Islamic Development Bank (IDB) ke 27 di Burkina Faso pada 22-23
Oktober 2002 Malaysia mengemukakan harapannya agar negara-negara OIC
dan rakan perniagaan lainnya menggunakan dinar emas untuk merangsang
perekonomian masing-masing. Praktik ini akan melindungi dari
ketidakstabilan yang diakibatkan oleh penggunaan dolar Amerika
(Bernama 21 Oktober 2002).
Pada hari yang sama
di Kuala Lumpur diadakan seminar “Dinar Emas dalam Perniagaan
Multilateral”, yang merupakan kelanjutan dari seminar yang diadakan di
Malaysia pada bulan Ogos 2002, dengan tema “Sistem Kewangan Dunia yang
Stabil dan Adil”. Kedua-dua forum melibatkan negara-negara anggota
OIC (Executive Intelligence Review).
Sememangnya
terjadi perubahan ketara pada dolar Amerika, nilainya terus susut
sejak 2001. Ini menyebabkan ia semakin terdedah kepada jualan,
sehingga defisit perdagangan Amerika mencapai USD 1.25 bilion sehari.
Ini akan mendorong Federal Reserve untuk mencetak lebih banyak lagi
wang yang justeru akan semakin menurunkan nilai dolar. Sehingga 31 Mac
2003, Bank Pusat Asia (yang turut dianggotai oleh Jepun, China,
Singapura) memegang bon berharga lebih dari USD 1 trilion. Jika mereka
bertindak balas dengan menarik dolar, tentunya nilai dolar akan
semakin menurun (BH 18 Julai 2003).
Amerika Syarikat
sendiri yang dahulunya merupakan negara pemberi pinjaman, sekarang ini
termasuk dalam negara yang berhutang besar, sejajar dengan Argentina
dan Venezuela. Laporan terakhir mengatakan bahawa defisit belanjawan
Amerika tahun ini adalah USD 455 bn, dan dijangkakan jumlah ini
menggelembung menjadi USD 475 bn untuk tahun hadapan (BBC News 15
Julai 2003). Nilai perdagangan dunia saat ini hanyalah USD 4 trilion/tahun,
sedangkan jumlah mata wang dolar yang beredar di pasaran adalah USD 80
trilion/tahun. Ini menunjukkan betapa rendahnya nilai dolar.
Dijangkakan ia akan semakin menyusut sehingga akhirnya collapsed
dan berlaku keadaan yang lebih teruk daripada krisis Wall Street tahun
1929 (Vadillo,1998). Dengan demikian tidaklah menghairankan apabila
para pelabur sekarang mencari instrumen pelaburan yang lebih nyata,
iaitu emas. Nilai intrinsik (kuasa beli) yang dimilikinya akan
melindungi dari perubahan ekonomi sekitaran, sehingga membebaskan
pelabur dari putar belit rejim kewangan. Ini kerana wang fiat hanya
mempunyai nilai yang didasarkan pada kepercayaan.
Cadangan
Malaysia bagi Penggunaan Dinar Emas
Dalam
penyampaiannya pada seminar bulan Oktober 2002, Dr Mahathir menegaskan
bahawa proposal Malaysia ini bukan bermaksud menegakkan piawaian emas
di dunia, melainkan hanya kembali kepada perjanjian Bretton Woods yang
dibatalkan pada tahun 1971 (Executive Intelligence Review). “Saya
fikir tidak akan ada bantahan, ini kerana dinar emas adalah sama
dengan piawai emas yang digunakan dalam perjanjian Bretton Woods”
katanya (BH 2 Julai 2003).
Dalam seminar bulan
Ogos 2002, Tan Sri Muhamed Yakcop, salah seorang penasihat ekonomi
Mahathir menjelaskan kaedah berkenaan, dengan mengambil contoh
perdagangan antara Malaysia dan Arab Saudi : Pengekspot Malaysia akan
dibayar dalam RM oleh Bank Negara pada tarikh berlakunya ekspot.
Pengimpot Malaysia juga membayar Bank Negara dalam RM seharga nilai
impotnya. Bank Pusat Arab Saudi juga melakukan hal yang sama terhadap
ekspot dan impotnya. Misalnya setelah 3 bulan, ekspot keseluruhan dari
Malaysia ke Arab Saudi bernilai 2 juta dinar, dan ekspot keseluruhan
dari Arab Saudi ke Malaysia bernilai 1.8 juta dinar. Dengan demikian
untuk 3 bulan itu Bank Pusat Arab Saudi akan membayar sebesar 0.2 juta
dinar kepada Bank Negara Malaysia. Pembayarannya dilakukan dengan cara
Kerajaan Arab Saudi mentransfer 0.2 juta auns emas dari akaunnya pada
Bank of England kepada akaun Bank Negara Malaysia pada Bank penjaganya
yang sama.
Proposal Malaysia dalam Tinjauan Syariat
-
Dinar dan dirham syar’i telah ditetapkan
timbangannya. Satu dinar adalah 4.25 g emas, ia seberat satu
mithqal. Waznu sab’ah bermaksud 7 mithqal setara dengan 10
dirham, sehingga 1 dirham adalah 2.975 g perak (Futuh Al Buldan, Al
Baladziri). Proposal Malaysia adalah 1dinar = 1 troy auns emas =
31.1035 g emas.
-
Proposal Malaysia menghendaki mata wang domestik
tiap negara (parallel currency) dikekalkan. Selain tidak
mempersatukan negara-negara muslim, hal ini juga berakibat
diabaikannya peranan dinar dan dirham dalam pelaksanaan syariat,
misalnya sebagai piawai penjatuhan hukuman potong tangan, pembayaran
diyat, nisab dan pembayaran zakat dll. Penggunaan mata wang
sedia ada untuk keperluan domestik juga membuka pelwang terjadinya
inflasi, sedangkan kemudharatan itu mesti dihindari. Setiap yang
menghantar kepada hal yang haram adalah haram juga hukumnya.
-
Proposal Malaysia menjamin tidak perlu adanya bentuk
fizikal dan perpindahan fizikal emas. Keadaan seperti ini boleh
menyukarkan terutama dalam keadaan perang ataupun keadaan mendesak
lainnya, sebagai contoh tahun 1944 Jerman membeli keperluan
perangnya hanya dengan emas. Selain itu, jika aset umat Islam
disimpan di negara-negara kafir, ianya boleh dirompak ataupun
digunakan sebagai senjata untuk mengugut negara Islam. Bukankah
negara Islam tidak dibolehkan bekerjasama dengan negara kafir ?
-
Proposal Malaysia menghendaki penglibatan Bank of
England atau Bank Pusat Amerika sebagai ejen penjaga akaunnya. Ini
adalah wasilah kepada yang haram (penjajahan).
-
Proposal Malaysia menghendaki penggunaan dinar
hanyalah untuk membayar baki pembayaran perniagaan antara bangsa,
sedangkan urusan lainnya tetap dilakukan dengan mata wang selain
dinar. Ini bermakna mata wang lainnya termasuk dolar, yen, Euro
tetap digunakan sedangkan semuanya adalah wang fiat yang boleh
mengundang musibah perekonomian.
-
Dalam proposal Malaysia, nilai 1 dinar emas
ditetapkan berdasarkan harga 1 troy auns emas pada nilai tukaran
semasa. Misalkan harga semasa 1 troy auns emas adalah USD 365, maka
nilai 1 dinar emas adalah USD 365 (Asia Times 16 Februari 2003). Ini
mengakibatkan dinar emas dalam proposal Malaysia tetap tidak bebas
daripada pengaruh dolar atau mata wang lainnya. Ini diakui sendiri
oleh Dr Mahathir, tetapi beliau mengatakan bahawa kesannya adalah
tidak serius.
Keistimewaan
Konsep Dinar dan Dirham Syarei
-
Ia mempunyai nilai intrinsik,
sehingga dikehendaki di manapun
-
Ianya universal, tersedia secara meluas dan
diiktiraf sebagai barang berharga di manapun
-
Nilainya stabil, kebal terhadap inflasi dan deflasi
-
Tidak boleh dimanipulasi oleh spekulasi, keadaan
sekitaran dll sehingga kos urus niaga boleh dikurangkan
-
Tidak bergantung kepada penawaran dan permintaan
-
Kenaikan/penurunan nilainya spesifik untuk kawasan
tertentu
-
Mata wang dinar dan dirham mustahil dipalsukan dan
sukar dimusnahkan
-
Membantu mengelakkan kezaliman,
penipuan dan penjajahan, serta menjadi alat utama melaksanakan
beberapa hukum syariat
Benarkah jumlah emas yang ada sekarang ini boleh menjamin keperluan
wang dan serta aktiviti perekonomian ? Abdul Qadim Zallum (Sistem
Kewangan di Negara Khilafah, 1983) menyatakan bahawa emas yang ada di
dunia saat ini memang memadai, dengan alasan :
1. Emas yang digali sepanjang sejarah umat manusia
boleh terus digunakan hingga ke hari ini. Manusia tidak pernah
melupuskan emas, sebaliknya dapat menggunakannya untuk pertukaran atau
mengubahnya menjadi bentuk yang lain.
2. Sehingga abad ke-19 emas terbukti cukup untuk
memenuhi keperluan aktiviti perdagangan manusia tanpa menimbulkan
masalah ekonomi. Walaupun sepanjang abad ke-19 terjadi pertumbuhan
ekonomi yang sangat tinggi, dengan kenaikan upah dan gaji, namun tidak
terjadi peningkatan keperluan terhadap emas.
3. Yang menjadi sumber kekhuatiran orang ramai
bukanlah jumlah wang, melainkan kuasa belinya. Kuasa beli emas mampu
melahirkan kestabilan dan kesejahteraan. Sedangkan penambahan wang
hampa menimbulkan inflasi.
4. Sistem ekonomi yang bebas dari hambatan (misalnya
kawalan harga, monopoli) boleh terwujud tanpa bergantung kepada jumlah
wang yang tersedia. Berapa pun jumlah wang, akan tetap memadai untuk
membeli barang dan perkhidmatan. Jika barang dan perkhidmatan
bertambah, wang dapat digunakan untuk membeli barang dan perkhidmatan
secara maksima (kuasa belinya naik). Sedangkan jika jumlah barang dan
perkhidmatan berkurang, kuasa beli wang sedikit berkurang, tetapi
tidak akan menghalang dari membeli barang atau perkhidmatan.
5. Fenomena yang nampak, iaitu kekurangan emas,
sebenarnya muncul akibat inflasi yang berterusan. Apabila dunia
kembali kepada sistem emas, niscaya kestabilan kewangan terwujud
semula sehingga jumlah emas yang diperlukan untuk spekulasi
perdagangan akan berkurangan.
Bagaimanakah langkah-langkah untuk
mendaulatkan dinar dan dirham ? Abdul Qadim Zallum mencadangkan
langkah-langkah (1983) :
1. Menghentikan pencetakan wang kertas.
2. Menggunakan semula wang emas dalam pelbagai akad
muamalah.
3. Menghapus sekatan terhadap ekspot dan impot emas.
4. Menghapus sekatan dalam memperolehi, memiliki,
menjual dan membeli emas.
5. Menghapus sekatan untuk memiliki berbagai mata
wang dunia serta mengusahakan agar wujud persaingan bebas di antara
mata wang tadi. Diharapkan mata wang-mata wang itu akhirnya mencapai
nilai yang tetap terhadap emas, tanpa ada campur tangan negara untuk
mengawal nilainya.
Kesimpulan
1. Keinginan untuk kembali kepada penggunaan emas merupakan
kecenderungan ekonomi dunia, Malaysia bukanlah pelopor inisiatif ini.
2. Cadangan penggunaan dinar emas oleh Malaysia tidak sepenuhnya
bertujuan untuk mendaulatkan dinar dan dirham syari’ie. Seruan ini
berkemungkinan besar didorong oleh:
· Desakan ekonomi, kerana krisis ekonomi di peringkat antarabangsa
yang juga menjejaskan ekonomi dalaman. Misal Petronas rugi USD 159
juta kerana penyusutan nilai dolar. Pasaran Saham Kuala Lumpur
kehilangan USD 200 bn sejak kejatuhannya sehingga devaluasi. Krisis
ekonomi 1997-1998 menyebabkan kadar tukaran ringgit kepada dolar turun
dari 2.5 menjadi 4.8, atau dengan kata lain nilai ringgit terhadap
dolar menjadi separoh dari sebelumnya.
· Nasionalisma, keinginan mempertahankan taraf ekonomi bagi tujuan
mendapatkan penghargaan sama ada dari negara-negara Islam lainnya,
mahupun dari negara-negara bukan Islam. Ini cukup penting bagi menjaga
kedaulatan dalam percaturan politik dunia serta kestabilan politik
serta untuk mengekalkan gaya hidup yang telah dinikmati.
· Meraih sokongan rakyat termasuk parti-parti Islam untuk
berganding bahu menyelesaikan agenda “terpenting” ini iaitu
kecemerlangan ekonomi dan kejayaan material.
3. Sesungguhnya keupayaan sesebuah negara seperti Malaysia untuk
mengamalkan ekonomi Islam sangat terbatas. Namun apabila umat Islam
bersatu di bawah naungan Khilafah, dengan menghimpunkan seluruh
kekayaan emas, perak (dan logam lain jika perlu), serta bersatu
pemikiran untuk menghadapi makar musuh-musuh Islam, Insya Allah
matlamat ini akan tercapai. Dengan demikian agenda terpenting umat
Islam bukanlah mengembalikan sistim dinar dan dirham, tetapi
mengamalkan kefahaman Islam dan mempersatukan wilayah Islam dalam
entiti Khilafah.-IKIN |