PERNYATAAN
KUALA LUMPUR 10 Ogos - Terjemahan perkataan jihad
yang membawa maksud `berjuang' dalam tafsiran al-Quran
perlu diubah bagi mengelakkan Islam terus dilabel sebagai agama yang
menyokong keganasan.
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM),
Datuk Dr. Abdul Monir Yaacob berkata, perkataan jihad
sepatutnya tidak hanya ditekankan kepada berjuang yang sering
dikaitkan dengan keganasan dan peperangan.
Sebaliknya, menurut beliau, maksud sebenar
perkataan jihad fi sabilillah ialah `berusaha ke jalan Allah'
yang boleh diberi interpretasi secara meluas termasuk menambah
ilmu serta membaiki akhlak.
Katanya, antara tafsiran al-Quran yang memberi
makna jihad sebagai berjuang ialah yang diterjemahkan oleh ulama Yusof
Ali serta tafsiran Al-Quran versi Indonesia.
``Berjuang dalam bahasa Arab ialah `Katala'
yang diambil daripada perkataan `Kital'.
``Oleh itu, bila menterjemahkan perkataan jihad
dalam tafsiran Al-Quran perlu disertakan dengan nota kaki yang
menjelaskan maksud perkataan tersebut dalam perspektif yang lebih luas,''
ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas
kerja bertajuk Islam dan Keamanan pada Persidangan Keamanan Dunia
Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Menurut Abdul Monir, contoh paling besar mengenai
konsep jihad yang disalahertikan terutama oleh media Barat apabila
perkataan itu diterjemahkan secara langsung sebagai `perang suci'
(holy war).
Beliau memberitahu, `perang suci' bukanlah
terjemahan kepada perkataan jihad, sebaliknya perkataan tersebut
bermula semasa Perang Salib yang mana ia menghuraikan mengenai
penentangan Kristian terhadap negara Islam.
``Sejak kejadian 11 September, perkataan
jihad digunakan secara berterusan untuk menakut-nakutkan orang bukan
Islam sekali gus menggambarkan agama Islam dari sudut yang negatif,''
ujarnya
Pandangan
IKIN berkenaan dengan definisi Jihad sebenar
JIHAD
Jihad dari segi Haqiqah Lughawiyah,
‘Urfiyyah dan Syar’iyyah
1)Haqiqah
Lughawiyah – Makna Bahasa
Jihad berasal dari kata
jâhada, yujâhidu, jihâd. Kata akar JAHADA mempunyai terlalu banyak
maksud di dalam bahasa Arab seperti: mencurahkan tenaga supaya menjadi
sempurna, seorang pelajar yang rajin belajar, mencapai tujuan atau
mewujudkan, bekerja untuk mencapai tujuan, menjadi letih,
menyoalsiasat, menegaskan, dibebani, menjadi lemah kerana sakit,
seseorang yang bekerja keras, sakit cinta, bercampur, bangkit,
berkehendak, makan dengan banyak, jujur, bekerja keras, berhati-hati,
menggunakan kesemuanya dan berjuang tanpa rehat.
Atau dengan kata lain,
jihad boleh diertikan sebagai saling mencurahkan usaha (Dr
Muhammad Khair Haykal, Al-Jihâd wa al-Qitâl fi as-Siyâsah as-Syari’yyah,
jld 1/38). Lebih jauh lagi, Imam an-Naysaburi, dalam kitab tafsirnya,
menjelaskan makna jihad iaitu, mencurahkan seluruh tenaga untuk
memperolehi maksud tertentu (Dr Muhammad Khair Haykal, op. cit.
jld 1/40). Berdasarkan makna bahasa ini, jihad merupakan kemampuan
yang dikerah semaksima mungkin, adakalanya berupa perbuatan fizikal,
dengan senjata atau tanpa senjata, adakalanya dengan menggunakan harta
benda dan kata-kata untuk meraih tujuan tertentu.
2)Haqiqah
‘Urfiyyah – Makna Adat
Penggunaan lafaz jihad
bagi para sahabat hanya membawa satu makna sahaja iaitu berperang.
Mereka tidak memahami dengan makna lain selain berperang. Salah satu
riwayat adalah mengenai jawapan Abu Musa al-Asy’ari ketika berada di
masjid:
“Wahai
Abdullah bin Qays, beliau disebut dengan nama aslinya. (Lelaki itu
berkata); ‘Bagaimana pandangan kamu jika aku mengambil pedangku,
kemudian aku pergunakan untuk berperang semata kerana Allah, kemudian
aku terbunuh dan aku dalam keadaan seperti, di mana kedudukanku?’
Beliau (Abu Musa) menjawab: ‘Di syurga…’
Ternyata perkataan jihad
pada awal Islam tidak pernah terkeluar dari kerangka utama perang sama
ada bererti al-qital, al-ghawz, al-harb mahupun yang lain.
3)Haqiqah
Syar’iyyah Makna Syara’
Pengertian lafaz jihad
telah dinukilkan oleh al-Quran dan as-Sunnah dengan makna yang lebih
khusus: mencurahkan seluruh tenaga untuk berperang di jalan Allah,
sama ada secara langsung mahupun dengan cara membantu dengan
mengeluarkan harta benda, memberikan pendapat, atau memperbanyak
bekalan, atau lain-lain dalam rangka meninggikan kalimat Allah.
Penggunaan perkataan jihad dalam ayat Madaniyyah mencapai sehingga 26
perkataan. Kesemuanya memberikan gambaran yang jelas bahawa maksud
jihad adalah perang menentang orang-orang kafir dan keutamaan untuk
keluar berperang berbanding berdiam diri sahaja terhadap aktiviti
berkenaan.
“Tidaklah sama antara
orang-orang beriman, yang tinggal duduk (di rumah) bukan kerana
keuzuran, dengan orang-orang yang berjuang di jalan Allah, dengan
harta dan dirinya. Allah melebihkan darjat orang-orang yang berjuang
dengan hartanya dan dirinya dari orang-orang yang tinggal duduk.
Kepada tiap-tiapnya, Allah menjanjikan kebaikan tetapi Allah
memberikan pahala yang berlipatganda kepada orang-orang yang berjuang
lebih daripada orang-orang yang duduk.”
(TMQ An-Nisa’, 4:95)
“Berangkatlah, ketika
ringan atau berat, dan berjuanglah dengan harta dan dirimu di jalan
Allah. Itu paling baik untuk kamu sekiranya kamu tahu.”
(TMQ At-Taubah, 9:41)
“Tetapi Rasul dan
orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya, mereka berjuang
dengan harta dan dirinya, itulah orang-orang yang memperoleh kebaikan.
Dan itulah orang-orang yang beruntung.”
(TMQ At-Taubah, 9:88)
“Kamu beriman kepada
Allah dan Rasulnya dan berjuang di jalan Allah(kebaikan) dengan harta
dan dirimu. Itulah yang lebih baik untuk kamu, sekiranya kamu
mengetahui.”
(TMQ As-Saf, 61:11)
Selain itu, terdapat
banyak hadis Rasulullah saw yang di dalamnya terkandung perkataan
jihad dengan makna “berperang menentang orang kafir di jalan Allah”.
Antaranya seperti hadis riwayat al-Bukhari dari Abu Hurairah:
“Mereka (para
sahabat) bertanya: ‘Wahai Rasulullah, beritahukanlah kepada kami
perbuatan yang boleh menandingi jihad di jalan Allah?’ Baginda
bersabda: ‘Kamu tidak akan mampu melakukannya.’ Baginda bersabda:
‘Perumpamaan orang yang berjihad di jalan Allah adalah seperti orang
yang berpuasa, yang sentiasa bangun (di tengah malam) dan patuh kepada
ayat-ayat Allah, yang tidak berhenti berpuasa, sedekah sehinggalah
orang yang berjihad tersebut kembali ke tengah keluarganya.’
Selain dari dalil-dalil
syarak tersebut, para fuqaha juga bersetuju bahawa perkataan jihad
bererti “mengerahkan seluruh kekuatan untuk berperang di jalan Allah.”
Menurut Fiqh Hanafi, Imam Kasani di dalam bukunya Bada’ Sama
mendefinisikan jihad sebagai: “….menggunakan semaksima usaha dan
tenaga berperang di jalan Allah dengan diri, harta, lidah atau dengan
perkara lain…..” Menurut Fiqh Maliki pula, Imam Ibn Arafa, dari Sheikh
Khalil dalam Mukhtasar Al-Khalil, berkata jihad adalah: “….seorang
Muslim berperang menentang orang kafir yang tidak ada sebarang
perjanjian, di jalan Allah untuk meninggikan nama-Nya……”. Di dalam
Fiqh Shafie pula, Imam Shirazi dalam Al-Muhazab Fil Fiqh Al-Shaafi
berkata bahawa jihad adalah: “…menentang orang kafir di jalan Allah
dengan diri atau harta atau lidah atau dengan melatih orang lain….”(boleh
merujuk juga Kitab Al-Minhaj oleh Imam Nawawi). Manakala
menurut Fiqh Hanbali, Imam Ibn Qudama Al-Maqdisi berkata jihad ialah:
“…..memulakan peperangan dengan orang kafir sama ada sebagai fardu
kifayah atau fardu ain atau melindungi orang-orang beriman daripada
orang kafir atau menjaga sempadan atau perbatasan dan berperang di
barisan hadapan …..”.
Jihad menurut ulama-ulama usul pula adalah “…..berperang dengan orang
kafir untuk memberi kemenangan kepada Islam sebagai satu tujuan dan
bercita-cita menjadikan kalimat Allah swt yang tertinggi……” (Imam Al-Qastalani,
Imam Mawardi, Imam Al-Taftazani dan Imam Jirjani). Oleh itu,
ulama-ulama usul juga bersetuju dengan maksud jihad yang sama iaitu
berperang di jalan Allah memerangi orang kafir.
Sekalipun kata jihad
menurut bahasa mempunyai makna mencurahkan segenap tenaga, kerja keras
dan sebagainya, tetapi syariat Islam menggunakan kata tersebut demgam
maksud berperang di jalan Allah. Penggunaan kata jihad dalam
pengertian berperang di jalan Allah lebih tepat digunakan berbanding
dengan makna bahasa. Hal ini sesuai dengan kaidah yang sering
digunakan oleh ahli usul fiqh: makna syarak lebih utama berbanding
makna bahasa mahupun makna adat (‘Atha ibn Khalil, Taysir al-wushul
ila al-Ushul, hlm. 296). Kalaupun dilihat secara teliti jihad dari
makna syara’ dan adat tidak bercanggah definisinya.
Jihad dari segi
Jami’ dan Mani’
Dalam Islam, setiap
istilah mempunyai jami’ (merangkumi semua aspek yang dihuraikan)
dan mani’ (mencegah semua aspek yang tidak termasuk dalam
huraian). Definisi jihad adalah: mengerahkan segenap tenaga untuk
memerangi orang kafir sama ada secara langsung mahupun dengan membantu
harta benda, pendapat atau memperbanyak bekalan dalam rangka
meninggikan kalimat Allah.” Perkataan “mengerahkan segenap tenaga” ,
meliputi sifat bersungguh-sungguh dalam semua perkara tetapi jami’
telah mengkhususkan hanya dalam aspek “memerangi orang kafir.” Maka
selain dari aktiviti berperang seperti menuntut ilmu, usaha untuk
meningkatkan ekonomi dan membasmi buta huruf tidak termasuk dalam
rangka jihad fi sabilillah. Begitu juga sekiranya yang diperangi
adalah orang Islam seperti perang saudara yang berlaku di Oman tidak
dikira sebagai jihad malahan haram dilakukan.
Adapun kata: “samada
secara langsung mahupun dengan cara membantu harta benda, pendapat
atau memperbanyak bekalan” meliputi orang yang pergi berperang secara
langsung dan secara tidak langsung seperti orang yang menyumbangkan
idea, harta benda atau bekalan perang. Maka orang yang pergi berperang
di jalan Allah mendapat pahala jihad, begitu juga orang yang tinggal
di belakang tetapi telah menyumbangkan ideanya atau harta bendanya
atau memperbanyakkan bekalan perang, mendapat pahala yang sama, cuma
orang yang pergi berperang berpeluang mendapatkan mati syahid!
Manakala kata: “dalam
rangka meninggikan kalimat Allah” mengkhususkan orang yang betul-betul
ikhlas pergi berperang kerana Allah atau orang yang betul-betul ikhlas
menyumbangkan ideanya atau harta benda atau bekalan perang. Sekiranya
orang yang pergi berperang itu bercita-cita untuk mendapatkan ghanimah/rampasan
perang, maka dia tidak dikira sedang berjihad. Begitu juga dengan yang
pergi berperang kerana tanah tersebut adalah tempat tumpah darahnya (wataniah),
maka orang itu juga tidak dikira sedang berjihad. Walau bagaimanapun,
perkara yang terakhir ini hanya Allah yang Maha Mengetahui, kita tidak
dapat menentukannya kerana kita hanya boleh berhukum secara perbuatan
zahir sahaja, manakala perkara tentang niat keikhlasan seseorang itu
adalah perbuatan hati yang hanya diketahui secara tepat oleh Allah SWT.
Oleh itu setelah diteliti
secara mendalam dari segi mani’ dan jami’ maka kita
mendapati maksud jihad tidak boleh ditafsirkan selain daripada
berperang di jalan
Allah dalam rangka meninggikan kalimat Allah.
Beberapa
penafsiran Jihad yang salah.
Jihad versus
“Melawan Nafsu"
Berdasarkan perbahasan di
atas, adalah tidak ada kaitannya perkataan jihad dengan tafsiran
sesetengah pihak dengan “melawan hawa nafsu”. Tafsiran ini telah
terpesong dengan pengertian jihad yang sebenar iaitu “berperang di
jalan Allah untuk menentang golongan kuffar dalam rangka meninggikan
kalimat Allah”. Tafsiran ini diambil berdasarkan hadis berikut:
“Kita telah kembali
dari jihad yang lebih kecil kepada jihad yang lebih besar.” Mereka
para sahabat bertanya: “Apakah jihad yang lebih besar itu?” Jawab
baginda: “Jihad melawan hawa nafsu.”
Hadis ini, menurut
al-Iraqi, di dalamnya terdapat sanad yang daif. Ibn Hajar al-Asqalani
pula mengatakan bahawa ini bukan sabda Nabi (bukan Hadis) melainkan
kata-kata Ibrahim bin Ablah (Ala’ ad-Din, Kanz al-‘ummal,
Muassasah ar-RisalahJuz IV, hlm. 616).
Berdasarkan analisa
al-Iraqi, hadis berkenaan adalah daif. Sekiranya hadis berkenaan tetap
digunakan maka ia tidak dapat dijadikan hujah untuk membina suatu
pandangan. Tambahan pula, mengikut keterangan Ibn Hajar al-Asqalani,
kenyataan tersebut bukannya datang dari Nabi(Hadis Maudu’ – hadis
palsu), maka ia tidak mempunyai apa-apa nilai untuk dijadikan hujah
Akan tetapi, sekiranya
kenyataan di atas tetap digunakan, dan andaikan ia merupakan hadis
sahih, maka lafaz al-jihad al-asghar (jihad yang lebih kecil)
masih lagi bermakna “perang”. Ini kerana kata-kata Rasulullah
ditujukan kepada kaum muslimin yang baru pulang dari berperang. Mereka
faham bahawa dengan jihad al-asghar iaitu berperang di jalan
Allah tetapi mereka tidak faham dengan apa yang dimaksudkan dengan
jihad al-akhbar. Ini kerana Rasulullah menggunakan perkataan
jihad tersebut secara kiasan (majazi) yang menyebabkan para
sahabat memerlukan penjelasan dari Rasulullah. Oleh yang demikian,
mafhum yang didapati dari hadis daif ini bahawa makna jihad yang lebih
kecil adalah “berperang di jalan Allah” merupakan makna syarak
sedangkan jihad yang lebih besar adalah makna kiasan berdasarkan makna
bahasa iaitu “melawan hawa nafsu”.
Dalam perspektif
penggunaan bahasa, penggunaan lafaz menunjukkan suatu makna. Kaedah
bahasa yang sangat popular:
At-tabadur amarah al-haqiqah
(Pengertian yang
terlintas didalam fikiran orang Arab tulin merupakan makna yang
sebenar.)
Dari kaedah ini, makna
asal perkataan jihad adalah “mencurahkan tenaga”, “berkerja
keras” dan sebagainya tetapi perkataan ini telah digunakan oleh syarak
untuk “berperang di jalan Allah”, maksud yang terakhir ini telah
menjadi lebih dominan dalam percakapan dan minda umat Islam.
“Berperang di jalan Allah”lah yang menjadi maksud sebenar perkataan
jihad. Dalam konteks ini, penggunaan secara bahasa sudah terbatal,
kalah dengan kebiasaan yang telah diterima oleh umat Islam.
Jihad versus
Terrorism
Mungkin yang tergambar di
fikiran orang awam adalah jihad sama dengan perbuatan terrorism atau
keganasan seperti yang digambarkan oleh barat. Ini merupakan tanggapan
yang salah sama sekali.
Jihad adalah bertujuan
untuk menghancurkan kekuatan politik yang bersifat fizikal yang
menghalang bangsa-bangsa dan umat-umat di dunia ini daripada hidup
aman di bawah sistem pemerintahan Islam dengan memberikan kebebasan
kepada setiap individu untuk menganut akidah yang dinyakininya,
menghilangkan kekufuran dari muka bumi ini, menyebarkan Islam sehingga
keagungan, ketinggian dan kemuliaan Islam akan nampak sepertimana yang
dinyatakan dalam surah al-baqarah ayat 193:
“Dan perangilah mereka
sehingga tidak ada lagi ‘fitnah’ (kekufuran), dan (kemenangan) agama
ini hanyalah milik Allah.”
(TMQ al-Baqarah,
2:193)
Jihad merupakan
alternatif yang terakhir sekiranya sesebuah negara itu tidak mahu
tunduk kepada sistem Islam dan tidak mahu membayar jizyah seperti mana
tertera di dalam surah at-Taubah ayat 29:
“Perangilah
orang-orang yang tidak beriman kepada Allah, hari kiamat, serta tidak
mengharamkan apa yang diharamkan apa sahaja yang telah diharamkan oleh
Allahswt dan Rasul-Nya, dan tidak mahu memeluk agama yang haq iaitu
orang-orang yang telah diberi Al-Kitab sehingga mereka memberikan
‘jizyah’ mengikut kemampuan dan mereka tunduk.”
(TMQ al-Taubah, 10:29)
Inilah cara bagaimana
jihad dilaksanakan seperti yang terangkum dalam hadis dari Sulaiman
bin Buraidah yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.
Khatimah
Seterusnya, Islam sangat
menghormati nyawa sehingga dalam jihad hanya dibenarkan membunuh orang
yang terlibat dalam perang. Haram membunuh orang tua, wanita dan
kanak-kanak. Islam juga menghargai harta benda sehingga diharamkan
memotong pokok, merobohkan rumah atau merosak tanaman dan sebagainya.
Islam juga menghormati tawanan perang sehingga boleh ditebus,
dibebaskan atau dibunuh. Dalam kes terakhir, Rasulullah pernah
memerintah untuk membunuh dua orang tawanan perang Badar disebabkan
jenayah mereka terhadap kaum muslimin pada masa sebelumnya. Islam juga
memerintahkan untuk mengobati tawanan perang secara adil sehingga kaum
musyrik yang terluka dalam Perang Badar telah dirawat oleh kaum
muslimin, manakala yang terkorban dari kalangan mereka telah
dikuburkan bersama para syahid.
Jihad dalam Islam juga
tidak bertujuan untuk menjajah. Penduduk tempatan yang telah ditakluk
oleh islam tetap mempunyai kebebasan bahkan mereka juga bebas untuk
mengelola tanah-tanah mereka sepertimana yang berlaku ketika Umar al-Khattab
menakluk Iraq. Jika wilayah berkenaan dalam kekurangan, maka negara
akan memberikan bantuan. Setiap rakyat mendapat jaminan dari Negara
baik berupa kesihatan, pendidikan, tempat tinggal dan sebagainya.
Sebagai contoh, Andalusia/Sepanyol merupakan suatu lembah yang kontang
sebelum kedatangan Islam. Setelah kedatangan Islam, Sepanyol telah
menjadi satu negeri yang maju dan menjadi pusat untuk menimba ilmu
yang termasyhur semasa pemerintahan khalifah Abbasiah.
Oleh itu, berdasarkan
huraian-huraian singkat di atas, umat Islam sepatutnya lebih
berhati-hati dalam mengungkapkan kata-kata jihad. Hendaklah umat Islam
ini berhati-hati dalam menghadapi ajakan dan seruan-seruan yang salah
dan digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan mereka.
Pengaburan makna jihad dengan cara mengalihkannya kepada makna yang
lebih umum seperti membangunkan ekonomi, menuntut ilmu, mencari nafkah
dan lain-lain yang dianggap sebagai aktiviti jihad merupakan satu
usaha untuk menghilangkan makna jihad yang sebenarnya dalam bentuk
al-qital, al-harb, al-ghazwu iaitu berperang di
jalan Allah. Jangan sampai kita bermati-matian beranggapan apa
yang kita usahakan selama ini akan membawa kita kepada mati syahid,
rupa-rupanya hanya berkesudahan dengan mati yang sia-sia kerana
pemahaman yang keliru. Lebih sedih lagi kita telah mengabaikan salah
satu perintah yang wajib kita kaum muslimin lmelaksanakannya iaitu
berperang (jihad fi sabilillah). Dan perang ini (jihad) hanya
dapat dilaksanakan dengan berkesan jika wujudnya sebuah Daulah
Khilafah dengan seorang Khalifah yang boleh memerintahkan keseluruhan
umat Islam untuk berjihad.
|