Malaysia menyambut ulang tahun yang ke 46
pada 31 Ogos 2003, ulang tahun kemerdekaan buat kali kedua di
alaf baru ini, yang di sambut di seluruh negara pada hari ini. Bulan
kemerdekaan telah disambut sejak 17 Ogos lagi, bendera jalur gemilang
dapat dilihat pada kenderaan individu dan awam. Sambutan julung-julung
kalinya yang diadakan secara besar-besaran di Putrajaya, berbekalkan
cogankata “KeranaMu Malaysia”, penduduk Malaysia sebagaimana
tahun-tahun sebelumnya pastinya merayakan upacara yang gilang-gemilang
ini, yang mana berjuta wang rakyat telah dilangsaikan. Media masa
elektronik tidak akan ketinggalan memeriahkan rancangan ini dengan
tayangan filem bersifat patriotik seperti Bukit Kepong, Leftenan
Adenan dan lain-lain lagi.
Jika kita kaji betul-betul dengan minda
yang jernih, sebenarnya filem Leftenan Adenan yang menceritakan
kegigihan pahlawan Melayu, merupakan satu platun pasukan infantari
yang terdiri dari anak-anak Melayu yang mempertahankan Bukit Candu
dari serangan Jepun pada 13 Februari 1942. Mereka juga berjuang
di atas tiket tentera British dan bukan atas nama untuk memerdekakan
diri dari penjajah British atau Jepun. Leftenan Muda Adenan sebenarnya
merupakan seorang ketua platun di bawah pimpinan Ketua Kompeni C,
Kapten H R Rix atas arahan Letenan Kolonel Adre yang berjuang atas
nama British untuk menangkis serangan Jepun dalam peristiwa yang
berlaku di Pasir Panjang, Singapura. Begitu juga dengan peristiwa
Bukit Kepong yang mana tidak ada kaitan dengan perjuangan
kemerdekaan Tanah Melayu. Ini kerana ia sebenarnya adalah
perjuangan kakitangan polis British menentang serangan komunis.
Perjuangan mereka sebenarnya untuk mempertahankan diri dan bukan untuk
memperjuangkan kemerdekaan. Peristiwa berdarah ini mula berlaku
pada pukul 0500 pagi tanggal 23 Februari 1950, apabila satu
gerombolan komunis menyerang berek polis Bukit Kepong yang
mengakibatkan seramai 50 orang terbunuh. Pihak pengganas diketuai oleh
Muhammad Indera dengan kekuatan 200 orang anggota. Persoalannya ialah,
mengapakah filem yang menunjukkan perjuangan orang Melayu melindungi
dan mempertahankan entiti penjajahan British ini dikaitkan dengan
perjuangan KEMERDEKAAN dari British?
Inilah kejayaan British yang mana mereka
berjaya menanamkan satu konsep kepada penduduk Malaysia, iaitu sesiapa
sahaja musuh British maka mereka itu musuh kita. Kita amat membenci
Jepun, begitu juga komunis, tetapi kita amat sayang kepada British,
walhal mereka juga penjajah veteran negara kita lebih lama dari Jepun
dan Komunis. Berlaksa-laksa emas kita, timah, besi dan lain-lain
sumber alam kita di bawa balik untuk kepentingan mereka, kemudian kita
berterima kasih kepada mereka kerana menganugerahkan sebuah
kemerdekaan. Apakah autoriti mereka untuk menjajah kita? Apakah
autoriti mereka untuk memerdekakan kita? Siapakah yang memberikan
mereka autoriti ini?
Untuk membicarakan erti
sebuah kemerdekaan, maka kita tidak lari dari membincangkan
erti sebuah penjajahan, kerana tidak ada kemerdekaan tanpa
sebuah penjajahan. Sebagaimana kita tidak akan mengerti cerita Nabi
Musa tanpa mengetahui siapakah Firaun. Tidak difahami cerita Nabi Adam
tanpa menelusuri kisah Iblis yang enggan sujud kepadanya. Semoga
dengan artikel ini akan dapat membongkar siapakah British dan apakah
erti kemerdekaan yang sebenarnya.
Penjajahan Mental
dan Fizikal
Penjajahan pada mulanya adalah berbentuk fizikal
dengan melakukan kekerasan kepada penduduk tempatan yang mana
mereka mengerahkan kekuatan untuk membunuh dan merompak kekayaan yang
ada. Negara penjajah ini tidak membawa apa-apa ideologi kecuali agama
Kristian sahaja yang mereka anuti sebagai agama ritual semata-mata.
Barangkali gambaran yang paling tepat bagi keserakahan Eropah adalah
seperti yang digambarkan oleh sejarawan Amerika, Dagobert Runes,
yang berkata,
“Penjajah-penjajah
pada abad ke 15, 16 dan 17 menamakan diri sebagai pembawa berita
gembira (Missionary) dan penjelajah, sebenarnya adalah
perompak-perompak buas dan serakah yang menggunakan bendera salib pada
haluan kapal serta tengkorak orang kulit hitam di atas tiang kapal.
Para penjajah abad ke-18 dan 19 adalah pemburu hamba sahaya dan
cita-citanya adalah untuk menyedut kekayaan dan berlumba-lumba
memperolehi pasaran baru, mineral baru, ladang baru dengan cara yang
tidak berperikemanusiaan” (Crosscut Through History, ms 111).
Setelah Revolusi Perancis,
perubahan paradigma telah berlaku di sana dan ini meletakkan Barat
maju selangkah kehadapan di dunia. Peningkatan taraf berfikir mereka
ini telah mencetuskan Revolusi Perusahaan dalam permulaan abad ke 19,
dan seterusnya telah membawa Barat ke satu ideologi yang mereka anuti,
untuk mengembangkan cita-cita dan pengaruhnya. Penjajahan fizikal
dan mental telah diterapkan di tanah-tanah jajahan mereka.
Jevons mengungkapkan tentang dominasi British pada tahun 1865,
katanya,
“Tanah pamah Amerika
Utara dan Russia telah menjadi ladang jangung kita, Chicago dan Odessa
ialah jelapang bijirin kita, Kanada dan Baltik hutan kita, Australia
mengandungi kawasan ternakan biri-biri kita, Aregentina dan di
bahagian Barat Prairie Amerika Utara terdapat kumpulan kerbau
kepunyaan kita, Peru mengirim peraknya, dan emas dari Afrika Selatan
dan Australia mengalir ke London; orang Hindu dan Cina menanam teh
untuk kita, sementara kopi, gula dan ladang rempah kita kesemuanya
berada di kepualauan Hindia. Sepanyol dan Perancis merupakan ladang
anggur kita, dan Mediterrenean menjadi dusun buah-buahan kita, dan
ladang kapas kita, yang selama ini berada di Amerika Selatan, kini
diluaskan di mana-mana jua rantau dunia” (Paul Kennedy, Kebangkitan
dan Kejatuhan Kuasa-Kuasa Besar, ms 200).
Penyebaran agama Kristian tidak penting
lagi bagi mereka. Yang paling penting ialah Ideologi Kapitalis.
Di negara kita sebagai contohnya, umat Islam dibenarkan bersembahyang,
membina masjid tetapi doktrin sekular ditanamkan iaitu
urusan politik mesti dipisahkan dari agama. Juga ditanamkan
kepada kita bahawa British ini baik. Mereka datang ke sini untuk
mengajar kita cara memerintah negara Moden. Penjajahan mental sebegini
dapat melahirkan generasi yang berketururnan tempatan tetapi
berfikiran Barat. Nampaknya British adalah antara negara yang paling
berjaya dengan kaedah ini, sehingga sekarang negara di bawah jajahan
British masih menyayangi bekas tuan mereka ini. Buktinya dapat kita
saksikan melalui sokongan dan penglibatan mereka dalam
aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh negara-negara bekas jajahannya
yang digelar sebagai Negara-negara Komanwel.
Manipulasi Istilah Kemerdekaan
Jikalau umat Islam mengkaji sejarah dengan teliti dan
mendalam, nescaya mereka tidak akan tertipu dengan slogan
kemerdekaan yang dilaungkan oleh British. Penipuan ini dapat
dilihat dalam beberapa peristiwa :-
i) British
menggunakan laungan Kemerdekaan untuk menjatuhkan Khilafah di
Turki.
ii) Peristiwa
Kemerdekaan Balkan untuk melemahkan Daulah Islamiah.
iii) Kemerdekaan
untuk melawan serangan Sosialis.
iv) Kemerdekaan
oleh AS untuk menghancurkan pengaruh British dan sebaliknya.
Umat Islam adalah umat yang satu. Pada masa Inggeris
dan Perancis ingin menghancurkan Daulah Islamiah, mereka telah
memecahkan kesatuan mereka dengan usaha divide and rule (pecah
dan perintah) yang dilakukan oleh British selepas Perang Dunia Pertama
ke atas negara Khilafah. British menggunaka nasionalisme dan
chauvanisme patriotik yang ditanamkan ke dalam minda kaum Muslimin
sebelumnya. T E Lawrence merupakan salah seorang dari agen mereka.
Pada kesempatan ini, British membangkitkan idea kemerdekaan
bangsa Turki. Umat Islam Turki tertipu dengan slogan ini. Mereka
merasakan Khilafah adalah penjajah, lantas mereka melaungkan
kemerdekaan dari Khilafah, yang akhirnya melahirkan sebuah negara
kebangsaan baru Turki. Setelah Khilafah berjaya digulingkan secara
rasminya oleh Mustafa Kamal Laknatullah.
Eropah menjajakan idea kemerdekaan untuk
melemahkan negara Islam. Semasa Daulah Islamiah melawan dominasi
Eropah di Balkan pada abad ke 19, negara Eropah banyak melakukan
aktiviti politik untuk melawan aktiviti ketenteraan Daulah Uthmaniah.
Walaupun mereka juga menggunakan kententeraan, tetapi sekadar untuk
menyokong aktiviti politik mereka. Kes di Balkan, negara Barat
menyatakan bahawa Balkan mesti merdeka dari kekuasaan Uthmaniah walhal
Eropah tidak berniat langsung untuk melakukan konfrontasi dengan
Daulah Islamiah kerana mereka tahu, aktiviti fizikal ini kurang
menguntungkan mereka. Namun demikian, mereka tetap memprovokasi dan
menghasut, sehingga berlaku pemberontakan di Balkan. Mereka menjajakan
idea kemerdekaan dan kebangsaan kepada rakyat tempatan di sana.
Harapan Barat nanti apabila Khilafah Uthmaniah terlibat langsung
dengan aktiviti ketenteraan di sana, Negara akan menjadi semakin
lemah. Agak menyedihkan, Daulah Utmaniah menghantar tentera untuk
memadam gerakan pemberontakan di sana, malangnya tentera-tentera ini
telah dikalahkan oleh pemberontak. Dalam kes ini kita dapat melihat
betapa liciknya Eropah terutamanya British memainkan slogan
kemerdekaan untuk membunuh musuh politik mereka.
Kemerdekaan juga digunakan oleh
Amerika dan Eropah sebagai topeng untuk melawan Sosialis. Dalam
pada itu, Amerika yang menjadi semakin licik dalam aktiviti politiknya
telah menggunakan kemerdekaan untuk membebaskan wilayah yang
berada di bawah pengaruh British iaitu saingan politiknya yang utama
pada masa itu. Hal ini dapat diterangkan seperti berikut: pada
penghujung Perang Dunia Kedua telah timbul kesimpulan yang jelas
kepada orang-orang yang memahami percaturan politik dunia iaitu
pejajahan mesti dihapuskan lantaran serangan Rusia ke atas sistem
Kapitalis yang mereka nyatakan sebagai “puncak tertinggi
Kapitalis adalah penjajahan”. Rusia telah memulakan serangan
kepada sistem Kapitalis dan imperialisma Barat, memotivasikan
penduduk tempatan untuk menggerakkan revolusi menentang penjajah dan
merancang berbagai peristiwa yang cukup melemahkan Barat. Amerika
sebagai sebuah negara Kapitalis merasakan ancaman tersebut,
juga merasakan taktik strategi penjajahan perlu diubah kepada gaya
baru (neo-Imperealisme). Hal ini dinyatakan oleh John Foster
Dulles, Menteri Luar AS dalam bukunya Perang atau Damai
(dalam bab Evolusi Imperialisma Sebagai Tindakan Alternatif
Terhadap Pemberontakan Yang Keras dan Kejam) iaitu,
“Sesungguhnya keadaan
penjajahan Barat itu selalu diamati secara terus menerus oleh pemimpin
Soviet, sebagai satu titik fokus. Di mana pada titik itu Soviet boleh
melancarkan pukulan yang mematikan.
Ujar beliau lagi, Pada
waktu menjelang berakhirnya perang Dunia kedua, satu-satunya situasi
politik yang mendapat perhatian yang serius iaitu keadaan politik
daerah-daerah jajahan. Kalau negara-negara Barat berusaha
mempertahankan daerah-daerah jajahan seperti dengan teknik-teknik yang
sedia ada, maka yang pastinya bakal muncul pemberontakan bersenjata
dan Barat akan mengalami kekalahan. Maka satu-satunya strategi yang
mungkin berhasil adalah dengan cara damai memberikan KEMERDEKAAN yang
terhormat kepada 700 juta jiwa manusia yang berada di bawah kekuasaan
penjajahan Barat”.
Amerika menerima-pakai idea ini, kemudian
mereka mula memerdekakan negara-negara di bawah jajahan mereka.
Caranya ialah dengan menyediakan pakej hutang luar negara kononnya
untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, yang sebenarnya satu alat untuk
neo-imperealisma. British juga melakukan hal yang sama, diikuti
oleh Perancis, Jerman dan lain-lain negara penjajah lagi. Amerika
menggunakan slogan KEMERDEKAAN sebagai serampang dua mata,
bukan sahaja untuk mempertahankan Kapitalis dari serangan
Sosialis malahan digunakan untuk menghancurkan dominasi British ke
atas negara bekas jajahannya
Tujuan Amerika melontarkan perancangan tersebut adalah
untuk mengusir negara-negara imperialis seperti British, Perancis,
Belanda, Belgium, di Asia dan Afrika. Kemudian dialah yang
mengambilalih kedudukan tersebut. Umat Islam telah dijadikan hamba
bagi kepentingan Amerika dengan cara yang licik tanpa disedari bahawa
usaha membebaskan diri dari imperialisme sesungguhnya tidak lain
adalah melancarkan senario Amerika dalam persaingan antara imperialis.
Amerikalah yang merancang Revolusi Algeria dengan terlebih
dahulu mempersiapkan agen-agennya untuk dilantik sebagai pemimpin dan
dipuja sebagai pahlawan terbilang, contohnya Ahmad bin Billah. Amerika
juga yang mendorong Mesir dan negara-negara Arab lain untuk menyokong
revolusi itu. Akibat senario tersebut, banyak negara-negara penjajah
mula meninggalkan tanah jajahannya.
Namun bagi British dengan segudang pengalaman, sebelum
meninggalkan tanah-tanah jajahannya, ia terlebih dahulu ‘menempatkan’
kakitangan di daerah-daerah jajahannya itu yang kelak akan
mendahulukan kepentingannya daripada kepentingan masyarakat di
negara-negara tersebut. Kemerdekaan yang diberikan sesungguhnya
adalah membiarkan kekuatan ekonominya menguasai dan mempengaruhi
urusan dalam negeri tersebut. Ini adalah bentuk campur tangan langsung
tetapi halus terasa.
Itulah cara-cara yang digunakan oleh British, antara
lain melalui sektor perindustrian gergasi, menggunakan pengaruh
orang-orang kaya di negeri tersebut, pedagang-pedagang, tokoh
‘keparat’ dan sebagainya. Inilah yang menyebabkan British begitu mudah
memberikan kemerdekaan kepada jajahannya. Dalam waktu singkat,
muncullah banyak negara merdeka seperti Zanzibar, Rhodesia Utara dan
Selatan dan seterusnya.
Perancis pada awalnya enggan berbuat
demikian. Hanya setelah Charles de Gaulle, Presiden Perancis
pada masa itu, melihat situasi dunia yang begitu cepat berubah,
akhirnya mengikut jejak langkah British. Maka lahirlah negara-negara
baru merdeka di Afrika, seperti Maghribi, Tunisia, Algeria, Senegal,
Gabon dan lain-lain lagi. Sedangkan Belgium, yang menjajah Congo
mempunyai kekayaan alam yang amat luar biasa terutamanya uranium di
wilayah Katingga tidak dimerdekakan begitu sahaja, memandangkan
British menguasai galian tersebut dan jika dimerdekakan, pengaruh
British akan bertambah kuat. Apabila AS dan Belgium mengumumkan
kemerdekaan untuk membunuh pengaruh British, Tchoumby,
seorang ejen British di sana mengisytiharkan kemerdekaan kepada
Katingga. Amerika membawa kes ini ke PBB, yang mana didominasi oleh
Amerika, kemudian PBB menghantar Setiausaha Agongnya pada masa itu,
Dag Hjalmar Hammarskjold (Jerman Barat), ke Congo. Malangnya
Setiausaha Agong ini mati dalam nahas kapalterbang dalam perjalanannya
menuju ke daerah yang kini di sebut sebagai Zambia. Amerika
kemudiannya berjaya mengusir Tchoumby, dan menguasai Congo.
Berikutan kejadian ini, British lalu merasa khuatir
kalau-kalau daerah Kesatuan Rhodesia Utara dan Selatan serta daerah
Nyassland (Malawi, Maladewa) akan mengalami nasib yang serupa. Oleh
kerana itu, ia terburu-buru memerdekakan daerah-daerah tersebut dengan
terlebih dahulu memecah-mecahkannya menjadikan Rhodesia Utara berubah
menjadi Zambia, sedangkan Rhodesia Selatan tetap bernama Rhodesia
Selatan dan Nyassland menjadi Malawi (Maladewa). Sehingga sekarang
Rhodesia Selatan masih dikuasai British meskipun Amerika terus
berusaha menggulingkannya.
Pandangan Islam Tentang Kemerdekaan.
Satu ungkapan yang menarik dari Rabi bin
Amir semasa menjumpai Rustum iaitu Ketua Panglima Perang Parsi, beliau
berkata,
“Allah Swt mengutus
kami untuk mengeluarkan manusia dari penyembahan makhluk kepada
penyembahan Allah SWT, dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat,
dari kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam”.
Al-Mughirah bin Syu’bah jugaberkata,
“Agama ini telah
membebaskan dari penyembahan sesama makhluk kepada penyembahan Allah”.
Inilah kemerdekaan
yang sebenar iaitu kembalinya Umat Islam ke pangkuan Sistem Islam
sepenuhnya, bukannya megabdikan diri kepada sistem buatan manusia,
perlembagaan Kufur dan dasar-dasar kufur. Secara fizikalnya kita
nampak umat Islam merdeka dari kafir tetapi sebenarnya pemikiran
mereka masih lagi dijajah. Oleh itu, umat ini memerlukan
kemerdekaan pemikiran. Setelah
itu, barulah kemerdekaan
sebenar dapat dicapai.
Dilihat dari segi pemikiran, umat
Islam di Malaysia ini masih lagi dijajah dari segi pemikiran.
Pemikiran tentang asobiyyah, patriotisme
dan pemikiran sekular masih
lagi bermaharajalela. Manakala dari segi fizikal pula, kita dijajah
oleh sistem perundangan kufur. Sebagai contoh, lihat sahaja kepada
perlembagaan perkara 4(1) yang menerangkan.
Perkara 4(1) itu
memperuntukkan "Perlembagaan ini adalah undang-undang utama
Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari
Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal
setakat yang berlawanan itu."
Kesimpulan
Dengan demikian, adalah jelas bahawa
negara Malaysia sebenarnya hanya merdeka dari pemerintahan “orang”
British atau dengan kata lain tidak ada “orang-orang” British yang
memerintah atau berada dalam kabinet Malaysia TETAPI dari segi sistem
(nizham) pemerintahan,
Malaysia boleh dikatakan seratus peratus menerapkan Sistem
Pemerintahan British/Barat yang berteraskan Sekularisme.
Jadi, untuk memerdekakan umat ini, kita memerlukan perubahan sistem
pemerintahan iaitu kepada Sistem Pemerintahan Khilafah sebagaimana
yang diperintahkan oleh Islam.
-IKIN |