Pada 24 April lalu warga kota dikejutkan dengan
isu cerai SMS, iaitu lafaz cerai atau taklik dilakukan dengan
menggunakan alat komunikasi telefon bimbit. Ianya hanya sebuah pesanan
ringkas tapi membawa natijah yang baru dalam kehidupan berumahtangga.
Isu ini menjadi semakin hangat apabila adanya campurtangan dari Dato
Seri Dr Mahathir Muhamad dan juga menteri Pembangunan wanita, Dato’
Shahrizat Haji Jalil. Isu ini sebenarnya tidaklah sekronik mana,
tetapi medialah yang memainkan peranan mewarwarkan seolah-olah isu ini
merupakan isu penting untuk didiskuskan di kedai-kedai kopi, tak kira
di kafe berinternet atau kedai kopi Pak Ali. Kebanyakan tukang
cerita-ceriti ini berbicara hingga melangkaui batas hukum syarak.
Bermula alkisah, apabila Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat
sini hari ini mengesah dan mensabitkan perceraian satu pasangan suami
isteri yang dilafazkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) pada April
lalu. SMS yang dihantar oleh Shamsudin Latif kepada bekas isterinya,
Azida Fazlina Abdul Latif tertera: ``Kalau engkau tak keluar dari
rumah mak bapak engkau, jatuh talak tiga''. Pada masa lafaz itu
dihantar pada pukul 10.04 pagi 18 April lalu, Azida berada di rumah
keluarganya dan dia hanya membacanya pada pukul 8 malam apabila
telefon bimbitnya dipasang. Hakim Syarie Mohamad Fauzi Ismail semasa
membuat keputusan berkata, lafaz taklik cerai itu sah dan sabit serta
gugur talak tiga terhadap Azida. (Utusan Malaysia, Muka Depan
25.8.2003)Pada prosiding 9 Julai lalu, Azida yang bertindak sebagai
plaintif memberitahu mahkamah bahawa dia pasti SMS itu dihantar oleh
suaminya (ketika itu). Shamsudin yang dinamakan sebagai defendan
ketika ditanya oleh mahkamah, memperakukan keterangan yang diberikan
oleh Azida.(UM 25.8.2003)
Berasakan sumber berita lebih kurang dari surat khabar ini maka
lahirlah berbagai spekulasi berkenaan dengan Cerai SMS ada yang PRO
dan KONTRA. Ada yang melampau-lampau membangkang cerai SMS dan
merasakan seolah-olah ia penghinaan kepada Wanita, tidak terkecuali
Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad, Dato’ Seri Shahrizat Hj Jalil, Sisters
in Islam, beberapa pertubuhan NGO wanita yang kurang dikenali. Isu
hukum syarak tidak ditonjolkan berkenaan dengan cerai SMS, yang
ditonjolkan ialah isu ‘menghina wanita’, mereka bersikap anti-kepada
Keputusan Mahkamah Syariah itu. Ada satu tulisan menarik dari sebuah
rencana dalam Utusan Malaysia yang betul-betul mempertikaikan tidakan
Hakim Syarei. Seolah-olah Hakim Syarei tersebut tidak teliti, yang
amat menggelikan hati, rencana tersebut cuba mengajar pihak tertentu
bagaimana untuk mengesahkan SMS itu ditulis oleh suaminya dan
sebagainya.
Tidak kurang juga yang betul-betul mempermainkan isu ini, ada yang
membuat andaian kalau seseorang itu poligami, tiba-tiba isteri pertama
cemburu hantar SMS meceraikan isteri kedua dengan talak tiga sekali
gus, habislah sang suami. Itulah beberapa kedangkalan pihak yang
kononnya mereka berfikiran kritis tetapi sebenarnya masih dangkal
dalam mengkaji idea ini secara menyeluruh, bahkan mereka mungkin tidak
merujukpun kepada written decision, mungkin mereka ini hanya
merujuk kepada laporan Akhbar dan Media massa yang agak terhad
laporannya dan mengarah kepada memenagkan pendapat pihak tertentu.
Kemudian bermulalah isu mempertikaikan kewibawaan Hakim Syarei
Mahkamah Gombak Timur bermula apabila Kementerian Perpaduan Negara dan
Pembangunan Masyarakat akan meminta Jabatan Agama Islam memberi
penjelasan lanjut mengenai kedudukan perceraian melalui sistem pesanan
ringkas (SMS) yang disahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak
Timur.Menterinya, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman berkata, beliau
ingin mengetahui kedudukan sebenar mengenai fatwa atau perkara-perkara
yang membolehkan perceraian dengan cara itu disahkan. (Berita Dalam
Negeri UM 26.7.2003) Ujar belaiu “``Saya ingin mendapatkan maklumat
mengenai perkara tersebut dan tidak akan mengeluarkan kenyataan
mengenainya, sehingga mendapat penjelasan sepenuhnya,''``Soal
yang menjadi pokok sekarang ialah institusi kekeluargaan yang harus
sentiasa dilindungi dari menghadapi masalah perpecahan.``Perpecahan
boleh mengakibatkan beberapa masalah lain. Jangan tambah masalah,''
katanya. Kata beliau, ahli keluarga mesti bertanggungjawab terhadap
keluarga masing-masing dan tidak boleh membiarkan masalah itu
diselesaikan secara berasingan atau mengambil pendekatan sambil
lewa.Beliau menambah, jika menghadapi masalah dalam keluarga, perkara
itu perlu dirujuk kepada pihak tertentu yang mahir.
Para
mufti dan ahli agama berpendapat walaupun lafaz perceraian melalui
alat telekomunikasi moden termasuk e-mel dan sistem pesanan ringkas (SMS)
dibolehkan dalam Islam tetapi ia tidak digalakkan bagi mengelakkan
kekeliruan. Mereka turut meminta umat Islam supaya menggunakan kaedah
lebih terhormat apabila melafazkan cerai terhadap isteri kerana agama
Islam sendiri membenci perceraian. Mufti Kedah, Datuk Syeikh
Hasbullah Abdul Halim berkata, Islam tidak pernah menghalang
umatnya daripada menggunakan kemudahan teknologi semasa termasuk dalam
berkomunikasi dengan seseorang.
``Bukan sahaja SMS, kalau guna Internet juga boleh kerana yang penting
ialah maklumat itu mesti sampai kepada si isteri,''
katanya kepada Utusan Malaysia. Beliau juga menambah ``Lafaz
melalui SMS dinamakan sebagai lafaz kinayah (tidak terus terang)
sementara lafaz ucap (bersemuka) pula dipanggil sebagai lafaz soreh (terus
terang”. Jelas beliau, perbezaan antara kedua-dua lafaz tersebut
ialah lafaz talak kinayah hanya sah jika diikuti dengan niat manakala
lafaz talak soreh cukup menerusi kata-kata sahaja. (Dalam Negeri UM
26.7.2003)
Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr. Ismail Ibrahim
berkata, penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian adalah perkara
baik tetapi ia tidak harus disalahgunakan terutama bagi perkara yang
membabitkan hukum agama.``Jangan gunakan sewenang-wenangnya e-mel,
Internet atau SMS walaupun latar belakang mereka yang menghantar
pesanan boleh disiasat untuk mengesahkannya,'' katanya. Menurut
beliau, meskipun menyampaikan sesuatu seperti talak melalui SMS perlu
disahkan oleh mahkamah, ia dibimbangi akan menimbulkan masalah lain.
(UM 26.7.2003)
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad
berkata, kemajuan teknologi tidak sepatutnya disalah guna termasuk
bercerai melalui SMS telefon bimbit.Beliau yang kesal dengan kejadian
menimpa sepasang suami isteri terbabit berkata, walaupun dibolehkan
oleh syarak namun ia tidak sepatutnya diamalkan.
``Saya tidak sokong benda ini. Sepatutnya kalau hendak bercerai kena
bersemuka bukan SMS,Mereka (pasangan terbabit) gunakan teknologi ini
untuk bersemuka atau berbual, dan dari situ mungkin timbul perasaan
kasihan dan tidak jadi bercerai. Inilah kemajuan dalam bidang
telekomunikasi,'' katanya. (Muka depan UM 30.7.2003)
Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad
berkata mesyuarat mingguan Kabinet hari ini berpandangan bahawa
perceraian pasangan Islam tidak sepatutnya dilakukan dengan lafaz
cerai melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS). "Kabinet
memutuskan yang sementara mereka mungkin betul daripada sudut lain, ia
bukan cara untuk bercerai," katanya semasa mengulas mengenai
keputusan Kabinet terhadap perkara itu. (Muka Depan UM 31.7.2003)
ORANG KG.SABAK. al_sabaki@yahoo.com. Dalam Ruangan Forum UM 30.7.2003;
Yang secara ringkas tidak setuju
dengan dakwaan penceraian melalui SMS adalah sesuatu hal menghina
wantina, dengan berhujahkan bahawa lelaki yang menggunakan sms
perlu menfailkan kesnya ke Mahkamah , ini menunjukkan bahawa wanita
diberi hak. Dengan sinis beliau menyelar orang mengatakan cerai sms
bersifat jalanan, dalam masa yang sama mengiktiraf cinta jalanan
dengan sms.
Dato’ Sharizat Abdul Jalil ``Kementerian
saya tidak bersetuju dengan budaya tersebut. Ia merupakan satu
penghinaan kepada wanita dan membawa imej yang negatif kepada
Islam.Kita mintalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul
Hamid Zainal Abidin mengambil kira perkembangan terbaru ini agar SMS
tidak menjadi alat untuk wanita diceraikan.'' (Muka depan UM
30.7.2003)
Awang Selamat (UM30.7) setuju 100% dengan Dato’ Sharizat,
si awang ini setuju talak jatuh tapi inginkan kerajaan membuat
peraturan mencegah cerrai SMS Manakala dalam tajuk Pinda Undang-undang
Keluarga Islam jika lemah (Muka depan UM 31.7) Kementerian
Pembangunan Wanita dan Keluarga akan mengesyorkan supaya Undang-undang
Keluarga Islam dipinda jika terbukti wujud kelemahan sehingga
membolehkan lafaz cerai melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dibuat
sewenang-wenangnya. Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
berkata, Kabinet memandang berat perkara itu dan sependapat dengan
kementerian bahawa perceraian melalui cara tersebut tidak selaras
dengan semangat Syariah. Tegasnya, ia tidak harus dilihat sebagai
penghinaan ke atas wanita sahaja, sebaliknya boleh mencemarkan imej
agama suci itu dan menjatuhkan maruah lelaki Islam di negara ini.
``Kita
akan syor pinda undang-undang kalau jelas dan nyata ada kelonggaran di
dalamnya yang menyebabkan perceraian melalui SMS berlaku di negara ini.
``Bukan setakat menerusi SMS bahkan melalui e-mel pun kerana dianggap
telah menyalahgunakan teknologi yang ada,'' katanya pada sidang
akhbar selepas mesyuarat pasca Kabinet bagi kementeriannya di sini
hari ini. Kabinet hari ini membincangkan isu lafaz cerai melalui SMS
ekoran timbul kontroversi sama ada cara itu beradab atau tidak dan
apakah ia satu penghinaan kepada wanita serta kesannya kepada imej
Islam.
(Forum UM 31.7.2003 Pro and kontra cerai SMS)
SAYANG ISTERI, Bayan Lepas,
roslany2k@yahoo.com
memberi komen cerai sms bukannya menghina wanita tapi menghina
lelaki bahkan menganggap lelaki itu bacul, pada pendapat beliau cerai
sms, e-mail dsbnya sepatutnya untuk kes pasangan yang jauh jaraknya.
JURUTERA TELEKOMMUNIKASI – berkomentar cerai sms tak salah, Cuma
kadi mesti peka dengan situasi, contoh yang diberikan kes Mahkamah
Gombak Timur sepatutnya taklik itu bersyarat masa, bila dan jelas.
FATIN-03, Batu Caves, Kuala Lumpur – memberi komen penulisan Orang
Sabak (30.7.2003) adalah berunsurkan kegoan, beliau berkomentar lagi
penceraian sms tidak beradab kerana semasa berkahwin sanggup
menghabiskan duit yang banyak dan semasa cerai main sms, RM0.30.
Belaiu memberi komentar pendapat Hakim Syarei tiu tidak jelas hanya
berasaskan kenyataan sms yang pendek.
SULAIMAN M IBRAHIM, Ipoh. Mengulas isu penceraian sms oleh Kadi
Mahkamah Gombak Timur sebagai high watermark , beliau meminta
kita melihat kes Aida Melly yang disahkan jatuh talaknya.
UM
kelaur tajuk Cerai SMS - Lelaki tidak gentleman (Keluarga UM
4.08.2003)
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Hamid Zainal
Abidin berkata bahawa Lafaz cerai
melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) tidak sah sehingga diperakukan
oleh Mahkamah Syariah di negara ini. Menurut beliau, jika seseorang
suami menghantar SMS menyatakan cerai kepada isteri, talak tidak jatuh
kerana ia tertakluk kepada hukum bahawa mengikut undang-undang Islam
di negara ini ia perlu dibawa ke mahkamah untuk disahkan.
``Situasi itu dianggap sebagai cuba untuk bercerai dan ia tidak sah
sehingga diperakukan oleh Mahkamah Syariah mengikut Undang-Undang
Keluarga Islam 1984,'' katanya. Beliau berkata demikian kepada
pemberita selepas mesyuarat pasca-Kabinet di pejabatnya di sini hari
ini sebagai mengulas mengenai senario baru perceraian menggunakan SMS.
Abdul Hamid menjelaskan, merujuk kepada lafaz cerai melalui SMS yang
dihantar oleh Shamsudin Latif kepada bekas isterinya, Azida Fazlina
Abdul Latif pada 18 April lalu dan disabitkan oleh Mahkamah Rendah
Syariah Gombak Timur pada 24 Julai lepas, beliau berkata:
``Lafaz cerai itu tidak sah dan mereka masih suami isteri yang sah
dalam tempoh mula SMS itu dihantar sehingga mahkamah sahkan perceraian
itu (pada 24 Julai lalu)''.
Katanya lagi, talak yang dilafaz oleh suami termasuk menggunakan e-mel,
faksimile dan surat juga dikategorikan sebagai `cuba' melakukan
perceraian di luar mahkamah atau tanpa kebenaran dan ia bertentangan
dengan undang-undang Islam di negara ini.
Menurutnya, undang-undang itu diwujudkan mengikut kaedah fiqah iaitu
sesuatu tindakan imam (pemimpin) ke atas rakyat bergantung kepada
kepentingan umum.
``Ia adalah untuk memastikan si suami tidak melafazkan talak dengan
sesuka hati yang boleh menganiaya isteri. Oleh itu, mengikut Seksyen
124 undang-undang berkenaan, sesuatu perceraian di luar mahkamah atau
tanpa kebenaran mahkamah akan dikenakan denda sehingga RM1,000 atau
penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.Jadi,
jika suami cuba melakukan perceraian menggunakan SMS, maka tidak jatuh
talak. Bukan SMS yang `berkuasa' menceraikan pasangan suami isteri
tetapi mahkamah,'' katanya.
Abdul Hamid berkata, undang-undang keluarga Islam di negara ini tidak
membenarkan suami melafazkan talak dengan sesuka hati bertujuan untuk
memelihara kehormatan kaum wanita. Selain itu ujarnya, ia bagi
memastikan proses perceraian berlaku dalam suasana harmoni, sekalipun
ia dibenarkan oleh Islam.
``Oleh yang demikian, Jabatan Kefahaman Islam Malaysia (Jakim) dan
Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) ditugaskan mengkaji semula
peraturan berkaitan.
``Mungkin denda boleh dinaikkan kepada penjara tiga tahun atau denda
sebanyak RM5,000, ini semua akan dirujuk semula,'' ujarnya. (Muka
depan UM 31.07.2003)
Mohd Shauki Abdul Majid, Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah
Malaysia (Yadim). (Rencana UM
2.8.2003)Melafaz talak melalui SMS tidak seharusnya berlaku kerana
ikatan perkahwinan dalam Islam jauh dari sikap emosional. Seorang
Muslim sejati seharusnya memiliki kesopanan, budi, kesabaran dan
kekuatan diri dalam menangani persoalan ini. Seseorang itu mungkin
tidak menyukai sesuatu dan cuba untuk menjauhinya padahal dari segi
kenyataannya ia mengandungi banyak kebaikan dan rahmat.
Bergaullah dengan isteri kamu menurut yang sepatutnya. Kalau kamu
benci kepada mereka (hendaklah kamu bersabar), kerana boleh jadi kamu
benci pada sesuatu sedang Allah menjadikan kebaikan yang banyak di
dalamnya. (Surah an-Nisa ayat 19)
Peraturan yang membabitkan perceraian di luar mahkamah mungkin
diperketatkan termasuklah cadangan memperkenalkan hukuman penjara
mandatori kepada suami yang melafazkan cerai melalui Sistem Pesanan
Ringkas (SMS) telefon bimbit. Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman
Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman berkata,
ini disebabkan hukuman yang ada sekarang gagal menghalang perkara
tersebut walaupun ia sebenarnya sudah cukup tegas.
``Bagaimanapun, walau setegas mana undang-undang sekalipun ia bukanlah
satu jaminan bahawa masalah berkenaan dapat diatasi kerana yang paling
penting adalah kesedaran di dalam diri para suami.`Suami hendaklah
ingat bahawa mereka mesti menggunakan cara yang lebih beradab dan
bertanggungjawab walaupun lafaz cerai yang dilakukan di luar mahkamah,
ia tetap jatuh dari segi syarak,'' katanya ketika dihubungi di
sini hari ini. (Muka depan UM 3.08.2003)
Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) berpendapat cadangan
memperkenalkan hukuman penjara mandatori ke atas suami yang melafazkan
cerai melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) telefon bimbit mampu
mengatasi masalah perceraian melalui SMS daripada berleluasa.Yang
Dipertua NCWO, Profesor Datuk Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan
Shahabudin berkata, hukuman berkenaan akan menjadikan golongan
suami lebih berhati-hati dan membendung perbuatan melafazkan cerai
dengan sewenang-wenangnya melalui perkhidmatan SMS. ``Hukuman penjara
adalah lebih berat dan serius berbanding dengan hukuman mengenakan
denda. ``Oleh itu saya percaya hukuman penjara mandatori adalah
berkesan'', katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini
hari ini.Pengerusi Perkhidmatan Hotline MCA, Tai Sim Yew dalam
satu kenyataan yang dikeluarkan berkata, masalah lafaz cerai melalui
SMS harus dibendung demi memelihara kesucian dan kehormatan institusi
kekeluargaan dan perkahwinan.
``Selain itu perbuatan tersebut juga adalah satu bentuk diskriminasi,
prejudis dan penghinaan kepada maruah dan martabat kaum wanita di
negara ini,'' tambah beliau.
(Muka
Depan UM 4.8.2003).
Isu
ini benar-benar mengajak pelbagai pihak terdiri daripada orang ramai,
ulama dan terutamanya golongan wanita melihat perkembangan kurang
sihat ini. Kebanyakan mereka menyatakan rasa tidak puas hati terhadap
cara talak itu `dilafazkan'.
Bahkan, lafaz cerai melalui SMS disifatkan sebagai menghina kaum
isteri selain dilihat sebagai diskriminasi terhadap wanita. Pertubuhan
Sisters In Islam (SIS) melalui Pegawai Penyelidiknya, Nik Noriani Nik
Badlishah berkata, lafaz cerai menerusi SMS menunjukkan si suami tidak
mempunyai adab ihsan di dalam diri.
``SIS begitu terkejut kerana Majlis Agama Islam membenarkan perkara
tersebut tanpa adanya tatatertib atau ihsan di dalam perkara tersebut.
Seorang pekerja pun tidak boleh dibuang kerja melalui SMS, inikan pula
perceraian yang merupakan satu pekara besar yang melibatkan rumah
tangga,'' katanya.
Katanya, walaupun perceraian memang merupakan hak suami tetapi
selalunya pihak isterilah yang akan menanggung segala proses
perundangan dan sebagainya.
``Proses perceraian selalunya akan berakhir dalam jangka masa yang
lama dan menelan kos yang mahal,'' katanya. SIS katanya, tidak
menduga Majlis Agama Islam sudah bersedia untuk menggunakan alatan
moden bagi tujuan lafaz cerai yang sudah tentu memberi banyak
kelebihan kepada pihak suami.
Dalam pada itu, Exco Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO),
Faridah Khalid berkata, perceraian menerusi SMS merupakan satu
penghinaan kepada institusi perkahwinan itu sendiri. Tambahan pula
katanya, implikasi terhadap isteri dan keluarga adalah besar akibat
perceraian dengan cara demikian.
``Kita tidak tahu sama ada SMS tersebut dilakukan dengan tujuan
penganiayaan oleh pihak yang sakit hati dengan pasangan tersebut.
``Ini sudah tentu akan menghuruharakan sesebuah rumah tangga,''
katanya. Baginya, ikatan perkahwinan adalah sesuatu yang suci, namun
dilihat untuk meleraikannya sebagai paling mudah dan terlalu singkat.
``Untuk bercerai bukanlah satu yang mudah. Suami perlu
mempertimbangkan banyak perkara sebelum membuat perisytiharan
perceraian ke atas isterinya. Bukan hanya setakat menggunakan SMS
sahaja,'' katanya.
Sementara itu Pengerusi Wanita Ikram, Maryam Abdul berkata, perceraian
menggunakan SMS adalah terlalu mudah, terutamanya bagi suami yang
sudah `hilang pertimbangan'.
Katanya, jangan salah menggunakan teknologi canggih untuk membuat
sesuatu yang boleh menjatuhkan makhluk Tuhan yang lain.
``Jika perlu bercerai, pergi ke mahkamah untuk kemukakan perceraian.
Adalah tidak adil dan satu diskriminasi terhadap wanita sekiranya
saluran ini tetap digunakan,'' katanya. Katanya, SMS tidak boleh
dijadikan satu medium untuk perceraian dan kaum lelaki perlu dididik
mengenai hal itu.
Presiden Pekerja Wanita Malaysia (Perwanis), Silam Hassan berkata,
sekiranya perkara itu menjadi amalan, beliau khuatir lafaz cerai
menerusi SMS akan menjadi satu polisi Undang-Undang Keluarga Islam
pada masa akan datang. Jika ini berlaku katanya, ia merupakan satu
penganiayaan, penghinaan dan diskriminasi terhadap golongan isteri dan
wanita.
``Banyak kes yang melibatkan tuntutan perceraian daripada isteri akan
mengambil masa berbulan-bulan malahan bertahun sedangkan suami dengan
hanya satu petikan butang boleh melafazkan perceraian,'' katanya.
Beliau yang turut sedih dengan fenomena tersebut berkata, suami yang
bertanggungjawab sepatutnya menghargai isteri mereka dan tidak
melakukan perkara sewenang-wenangnya apabila sudah tidak suka.
Perceraian menggunakan SMS katanya, akan merendahkan kedudukan wanita,
perkara ini akan mengakibatkan imej agama Islam dipandang negatif.
``Kalau sesuatu perceraian perlu dilakukan, ia hendaklah dilakukan
dengan penuh berhemah dan beradab. Wanita mempunyai maruah yang tinggi.
Bukannya apabila dihargai diambil, bila dibenci, dibuang begitu sahaja
bagai sampah tidak berguna,'' katanya.
(
Keluarga UM 3.8.2003 Jangan hina isteri)
Pengakuan dari ibu beranak satu Harniza:
Suami saya beranggapan cerai itu (kami) tidak sah (apabila kabinet
turut membincangkan kes perceraian SMS pasangan di Gombak). Saya harap
isu ini diperjelaskan supaya kaum lelaki yang mungkin gila talak tidak
mempermainkan soal penceraian ini,'' katanya. Harniza cuma mahu
menuntut nafkah untuk anak lelakinya, tetapi suaminya berdolak-dalik
dan mahu Harniza bercakap dengan peguamnya. Harniza berharap kesnya
ini mendapat bantuan terutama pandangan di kalangan ulama.
``SMS
ini sama seperti lelaki yang mudah menceraikan isteri. Short and
Easy but no responsibility (ringkas dan mudah, tetapi tidak
bertanggungjawab,'' katanya (Dalam Negeri UM 5.8.2003) KUALA LUMPUR 5
Ogos - Kaum wanita di negara ini yang pernah diceraikan suami melalui
Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) boleh membuat pengaduan kepada Unit
Kaunseling Jabatan Pembangunan Wanita dan Keluarga di Kementerian
tersebut untuk diselesaikan. (UM 6.8.2003)
Komentar Salleh Buang (Rencana UM 6.08.2003)
Merujuk kepada kes yang dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak
Timur minggu lalu itu, saya kira laporan akhbar tempatan ada sedikit
mengelirukan (atau kurang tepat), dan sebab itu ia telah disalah
tafsir oleh sebahagian masyarakat setempat.
Tanggapan yang timbul dari laporan akhbar mengenai kes itu ialah
seolah-olahnya suami telah melafazkan talak terhadap isterinya
menerusi SMS.
Andaian seperti itu sebenarnya adalah tidak betul. Kalau kita baca
dengan teliti fakta kes itu, sebenarnya mesej ringkas yang dihantar
secara elektronik oleh lelaki itu kepada isterinya pada 18 April lalu
itu adalah lafaz taklik, bukan lafaz talak.
Dalam keterangannya di mahkamah, Azida Fazlina menyatakan bahawa dia
ada menerima dan membaca mesej itu yang berbunyi seperti berikut ``Kalau
engkau tak keluar dari rumah mak bapak engkau, jatuh talak tiga''.
Suami Azida pula, dalam keterangannya di mahkamah, mengakui bahawa dia
ada menghantar mesej itu kepada isterinya.
Berlandaskan peruntukan undang-undang berhubung keterangan, seperti
yang terkandung dalam Enakmen Keterangan Syariah yang sudah lama
berkuat kuasa di mahkamah syariah, apabila setiap pihak dalam sesuatu
kes itu telah berikrar di hadapan mahkamah semasa prosiding berjalan (iaitu
mengakui apa yang berlaku itu adalah perbuatannya dengan sengaja dan
rela hati), maka mahkamah tidak perlu melihat kepada
keterangan-keterangan lain.
Kes
akan hanya menjadi rumit sekiranya (sebagai misalan) si suami
menafikan ada menghantar SMS itu atau si isteri menafikan ada menerima
dan mengetahui kandungan SMS itu.
Kesimpulannya dalam kes yang dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah
Gombak Timur itu, disebabkan hakim bicara dalam kes itu telah
mendengar ikrar kedua-dua pihak (suami dan isteri) tentang
penghantaran (oleh suami) dan penerimaan (oleh isteri) lafaz taklik
menerusi SMS itu, dan syarat atau perkara yang disebutkan dalam taklik
itu benar-benar telah berlaku, hakim bicara tidak ada pilihan lain
lalu mensabitkan perceraian telah berlaku. Dengan lain perkataan,
dalam kes Azida dan suaminya ini, ikatan perkahwinan mereka bubar
disebabkan mahkamah terima ikrar kedua-dua pihak sebagai bukti lalu
mengesahkan perceraian berlaku disebabkan lafaz taklik suami kepada
isterinya.
Kes
itu bukan kes seorang suami menggugurkan (melafazkan) talak terhadap
isterinya menerusi SMS, lalu mahkamah terus memutuskan perceraian
telah berlaku tanpa usul periksa lagi.Saya harap tidak akan ada
mana-mana pihak, walau bagaimana baik sekalipun motif mereka,
mempertikai atau mempersoal keputusan Mahkamah Syariah Gombak Timur
itu.
Cerai SMS di negara lain
Berhubung penggunaan SMS bagi lafaz cerai, Singapura pada Julai tahun
lalu telah meluluskan fatwa lafaz cerai seseorang suami kepada
isterinya yang dilakukan menerusi SMS telefon bimbit sebagai sah dan
boleh dilakukan menerusi perkhidmatan tersebut.
Pendaftar Mahkamah Syariah republik itu, Shaiffuddin Saruwan berkata,
lafaz cerai menerusi SMS adalah sama kesannya seperti lafaz cerai
melalui sepucuk surat.
Bagaimanapun suami berkenaan perlu hadir di Mahkamah Syariah untuk
mengesahkan perceraian tersebut. Menurut Shaiffuddin, mahkamah perlu
meneliti setiap kes cerai sebelum memberikan kata putus.
``Lafaz cerai adalah memadai dengan dilakukan melalui SMS dan syarat
bagi membolehkan lafaz itu sah adalah pengirim SMS adalah suami,
kenyataan lafaz cerai itu adalah jelas dan semasa menghantar SMS, si
suami berniat menceraikan isterinya,'' katanya. Beliau ketika itu
mengulas kenyataan Penasihat Unit Kaunseling Kekeluargaan Mahkamah
Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Abdel Salam Mohammad sebagai
berkata, lafaz perceraian boleh dibuat menerusi SMS. (UM25.7.2003)
(Tahqiq : Cerai SMS mengikut Imam Nawawi)
Talaq melalui SMS menurut
al-Syafi'iyah adalah talaq kinayah, bukan talaq sharih. Talaq
kinayah begini memerlukan niat. Berikut ini pandangan dari
al-Imam al-Nawawi dalam text Arabnya:
ولو كتب ناطق طلاقا ولم ينوه فلغو وإن نواه فالأظهر وقوعه
Ertinya: Jika seorang suami yang boleh bercakap menulis
menjatuhkan talaq dan tidak berniat, maka talaqnya itu
sia-sia. Jika dia berniat menjatuhkan talaq, maka menurut
pendapat yang azhar/yang terkuat, jatuh talaqnya. (al-Minhaj)
(Rujuk
Imam Nawawi, Minhaj al-Tholibin, hal 106)
|
|
ANALISIS
IKIN |
Apakah Hukum cerai
pakai SMS, jawapannya sah.
Kalau ditanya "Kalau orang lain menulis
SMS macam mana?, contoh kawan bergurau dengan SMS kepada isteri kita,
nanti akan berlaku salah faham, nanti ianya akan berlaku kucar-kacir."
Jawapan kami, " Kita kena bezakan istilah
cerai sms dengan cerai biasa, cerai sms kita kena pastikan bahawa si
suami kita yang menulis, dan ditanya apakah dia berniat demikian? Isu
kawan tulis sepatutnya tidak menjadi isu, kerana apa hak kawan kita
nak menceraikan isteri kita? Bila pula Islam benarkan isteri kita
dipoligami. Begitu juga dengan persoalan isteri kita yang lain
menceraikan isteri yang lain dengan SMS itu merupakan isu yang sengaja
ditokok tambah oleh pemimpin wanita yang berfahaman ala-muktazilah,
yang menilai baik dan buruk pakai akal sahaja, adakah isteri kita yang
lain berhak menCERAI SMS madunya?. Itulah yang penting sesiapa yang
menerima Cerai SMS mesti memastikan betulkah mesej itu dari suaminya
kalau bukan maka tidak sah penceraiannya". |